Rabu, 7 Februari 2018 | 9:42pm
PENYANYI, Hazama, ketika menjayakan acara Busking Finalis AJL 32 di Dataran SOGO, Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto Mahzir Mat Isa

Hazama akui sering dianggap peserta tempelan

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Hazama, mengakui beliau jarang dianggap sebagai peserta pilihan sejak awal pembabitannya dalam Anugerah Juara Lagu (AJL).

Bagaimanapun, Hazama atau nama penuhnya Hazama Ahmad Azmi, 33, menyifatkan AJL bukanlah gelanggang bagi penyanyi kegemaran ramai, sebaliknya medan untuk mengangkat lagu berkualiti.

"Jujurnya, saya jarang dianggap sebagai calon kegemaran. Tetapi, saya yakin disebabkan lagu dan lirik yang bagus, membuatkan penyanyi yang membawakan karya terbabit mara ke final.

"Selama ini pun, saya sering dianggap sebagai penyanyi tempelan. Namun, saya tetap berusaha keras seperti biasa, demi lagu yang saya bawakan itu. Pada masa sama, saya harus mengambil peluang yang ada.

"Andai kata kononnya saya dipilih ke AJL sekadar memenuhi ruang, ia tidak mengapa. Saya tetap akan memberikan persembahan terbaik," katanya yang bakal bertanding pada edisi ke-32 pertandingan berprestij itu, Ahad ini, atas tiket lagu Aku Yang Sebenar, ciptaan Datuk M Nasir dan Ad Samad.

Sebanyak 12 lagu layak berentap pada AJL 32. Selain Hazama, antara artis lain yang turut bersaing kali ini ialah Dayang Nurfaizah, Syamel, Khai Bahar, Hael Husaini, Wany Hasrita dan Haqiem Rusli.

Dalam pada itu, bercakap mengenai kehadiran penyanyi baharu yang menguasai AJL 32, Hazama berkata, dirinya tidak tertekan mahupun terkesan dengan keadaan itu.

"Saya anggap diri ini masih relevan kerana berada dalam kelompok penyanyi muda terbabit. Kalau tidak, saya takkan berada dalam pertandingan ini.

"AJL juga sebenarnya bukanlah tempat siapa yang perlu menguasai siapa. Sebaliknya, ia gelanggang untuk kita berkongsi kepelbagaian muzik yang ada. Saya juga pernah berada di tempat mereka (penyanyi baharu) dan mereka juga akan berada di tempat saya, satu hari nanti," katanya kepada BH Online.

Bercerita mengenai persiapannya menjelang pertandingan yang bakal berlangsung di Arena Axiata Bukit Jalil itu, Hazama berkata, dirinya baru saja hendak memulakan latihan, hari ini.

Jelasnya, ketika ini beliau terikat dengan penggambaran drama arahan Mawi dan hanya mempunyai masa selama empat hari untuk berlatih.

"Mujurlah isteri, Genervie Kam, banyak membantu dari segi susunan muzik. Saya hanya perlu mengadakan latihan vokal agar dapat memberikan persembahan mantap.

"Malah, saya juga akan membuat sedikit gimik pada persembahan nanti, tetapi tidaklah sehebat apa yang dipersembahkan beberapa tahun sebelumnya. Tahun ini, persembahan saya bersifat sederhana dan saya mahu fokus pada nyanyian," ujarnya.

Berita Harian X