Sabtu, 10 Februari 2018 | 9:07am
HEFNY Sahad. - Foto Aziah Azmee

Semusim yang cukup manis - Hefny Sahad

KUALA LUMPUR: Biarpun hanya setahun, kenangan mengendalikan program Muzik-Muzik (MM) 32 terbitan TV3 tersemat dalam sanubari pengacara dan pelakon, Hefny Sahad.

Berpeluang berganding dengan Amyra Rosli sebelum diganti Sherry Alhadad dalam program itu, Hefny menganggap tugas mengemudi rancangan carta lagu dan muzik itu sebagai kejayaan peribadi.

"Saya percaya keputusan menamatkan tugas saya sebagai pengacara MM 32 adalah keputusan terbaik yang dibuat pihak pengurusan... Saya akur.

"Bagi saya, peluang mengendalikan program itu biarpun semusim menjadi pengalaman berharga dan saya amat bersyukur.

"Kalau mahu diimbas, ramai pengacara membina nama daripada program ini... Jadi, ia cukup besar dan bagus untuk portfolio saya. Cukup terpahat nama saya sebagai pengendali MM 32," katanya kepada BH Online.

Baru-baru ini, penyampai stesen radio Hot FM, Haziq Hussni diumum menggantikan Hefny sebagai pengacara program popular itu.

Hefny reda rezekinya bersama MM 32 hanya bertahan setahun.

"Lagipun yang menggantikan saya adalah kawan baik sendiri. Saya percaya Haziq boleh membawa program itu ke peringkat lain pula," katanya.

Mengenai dunia lakonan, Hefny memberitahu, dia selesai menjalani penggambaran filem pertama berjudul Operasi X yang diarahkan Sandosh.

"Filem itu diterajui Aaron Aziz dan Awie yang mewakili geng jahat dan baik. Saya bersama Hairul Azreen adalah antara ahli geng baik di bawah pimpinan Aaron.

"Selain itu, saya juga berlakon drama Melankolia bersama Aliff Aziz, Nonny Nadirah dan Datuk Seri Eizlan Yusof," katanya.

Dalam perkembangan lain, Hefny memberitahu dia akan berangkat menunaikan umrah buat pertama kali bersama teman-teman, Selasa ini.

Berita Harian X