Selasa, 13 Februari 2018 | 1:05pm
PETALING JAYA 10 OKTOBER 2017. Noh Salleh atau dikenali sebagai Noh Hujan di sidang media sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia 2017. NSTP/ZUNNUR AL SHAFIQZUNNUR AL SHAFIQ

Suka bukan sebab kawan - Noh Salleh

KUALA LUMPUR: Tak putus-putus Noh Salleh memuji band baharu, Kugiran Masdo yang disifatkan vokalis Hujan itu berbakat besar dalam bidang muzik.

Mengaku mengenali anggota kumpulan itu kerana mereka pernah bersama Hujan, Noh terpikat dengan karya dihasilkan empat jejaka itu yang disifatkan luar biasa.

"Kebetulan mereka adalah 'serpihan' daripada kumpulan Hujan. Namun, saya sokong mereka bukan disebabkan itu atau mereka kawan-kawan saya.

"Hakikatnya, mereka berbakat besar. Saya beli album mereka kerana lagu yang dihasilkan cepat 'menangkap' perhatian dan mudah dinyanyikan," katanya kepada BH Online.

Kugiran Masdo yang ditubuhkan pada 2015 dianggotai Ali Sariah sebagai vokalis, Putuceri, Asmawi dan Azham Ahmad. Azham pernah bermain dram untuk Hujan manakala Putuceri menjadi sebahagian daripada kru band indie popular itu.

Ketika tampil pada siri festival GegaRia di Shah Alam dan Johor Bahru, Kugiran Masdo menarik perhatian ramai pengunjung. Mereka akan bertandang pula ke Kuantan pula bagi menjayakan acara sama pada 24 Februari depan.


KUMPULAN Kugiran Masdo. - Foto Syarafiq Abd Samad


KUGIRAN Masdo ketika membuat persembahan sempena Festival GegaRia Edisi Kedua anjuran Media Prima Bhd di padang A, Angsana Johor Bahru Mall, 3 Februari lalu. - Foto Syarafiq Abd Samad

Noh yang juga suami kepada Mizz Nina menganggap kemunculan Kugiran Masdo tepat pada masanya.

"Apa yang saya lihat, mereka ikhlas mencipta muzik. Mereka bekerja keras untuk sampai ke tahap sekarang.

"Perjalanan band ini ibarat apa yang dilalui Hujan ketika mula-mula bertapak," katanya.

Dalam perkembangan lain, Noh dan band Indonesia, Mustache and Beard (M&B) bekerjasama menghasilkan single Batas Mimpi.

Noh juga teruja menjayakan siri ketiga GegaRia anjuran Media Prima Berhad (MPB) di perkarangan Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang pada 24 Februari depan.

Noh dijangka berkongsi pentas dengan Kugiran Masdo, Akim & The Majistret, DeFam dan Bunkface pada Konsert GegaRia yang diadakan pada sebelah malam.

Persembahan slot petang pula dibarisi artis seperti Wany Hasrita dan Priscilla Abby.

Selain itu, acara lain menanti pengunjung termasuk sesi demontrasi memakai hijab bersama Mira Filzah. Pelakon Elfira Loy pula memberi ceramah mengenai tanggungjawab media sosial.

8226 dibaca
Berita Harian X