Khamis, 15 Februari 2018 | 8:43pm
PELAKON dan penyanyi, Alvin Chong, pulang ke Pulau Pinang untuk menyambut Tahun Baharu Cina. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Sambutan kurang meriah tanpa datuk, nenek - Alvin Chong

KUALA LUMPUR: Sambutan Tahun Baharu Cina memberi makna berbeza buat pelakon dan penyanyi, Alvin Chong, pada tahun ini.

Pemergian kedua-dua datuk dan neneknya membuatkan beliau sekeluarga berasa agak ralat kerana lazimnya, mereka pulang berkumpul di kampung di Pulau Pinang untuk beraya bersama-sama.

"Tahun ini menjadi detik paling pendek saya berada di Pulau Pinang. Mungkin pada hari kedua perayaan itu nanti saya sudah pulang ke ibu kota kerana ada kerja perlu dilangsaikan.

"Biarpun tidak banyak berbeza jika dibandingkan dengan beberapa tahun sebelum ini, jauh di sudut hati, ia terasa seperti kosong kerana datuk dan nenek sebelah ayah sudah tiada. Lazimnya, kami pulang ke kampung untuk beraya bersama mereka.

"Namun, pada tahun ini ada sedikit kelainan apabila kedua-dua adik saya pulang membawa teman wanita mereka untuk menyambut Tahun Baharu Cina bersama-sama. Keluarga kami kini bagai menjadi lebih besar dengan kehadiran mereka berdua," kata Alvin.

Anak jati Pulau Mutiara itu semakin mencipta nama selepas membintangi drama bersiri, Suri Hati Mr Pilot, yang turut menampilkan Neelofa dan Fattah Amin.

Di arena seni suara pula, sebagai permulaan, Alvin melancarkan single berjudul Mencintaimu. Naskhah berkenaan menyaksikan dirinya bekerjasama dengan artis baharu, Sid Murshid.

Mencintaimu turut menjadi antara lagu runut bunyi drama bersiri, Coffee Prince, lakonan Fattah dan Janna Nick.

"Teruja rasanya apabila saya mula dikenali di kalangan peminat Melayu, terutama apabila berkunjung ke pusat beli-belah di Pulang Pinang. Ia petanda positif perancangan kerjaya seni saya berada di landasan betul," katanya.

Berita Harian X