Ahad, 18 Februari 2018 | 3:45pm
GAMBAR fail, artis, Mawi (kiri) dan Syamsul Yusof di Anugerah Juara Lagu ke 31 (AJL) di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral pada 12 November 2016. - Foto Shazreen Zamzuri

Syamsul ajar Mawi bikin filem

KUALA LUMPUR: Tunjuk ajar dan bimbingan Syamsul Yusof memberi keyakinan kepada penyanyi, Mawi untuk mengarah filem terbitan syarikat produksi miliknya, Mawi World Production Sdn Bhd.

Mawi sedang sibuk mengendalikan penggambaran filem pertamanya yang masih belum ditentukan judul. Filem bergenre Komedi Islamik itu dibintangi Hazama, Joey Daud, Along Cham dan Amira Othman.

Sebelum ini, Mawi hanya berpengalaman mengarahkan lima telefilem terbitan syarikatnya iaitu Pak Nik Ibu Kirim Salam, Jiwa Kacau, Siapa Dapat Lisa, Novel Fana dan Rock Sangkut.

"Saya tidak sangka boleh menyimpang jauh daripada kerjaya asal sebagai penyanyi. Minat saya sekarang lebih terarah pada kerja belakang tabir.

"Bagaimanapun, saya bertuah memiliki sahabat seperti Syamsul Yusof yang tidak lokek ilmu dan banyak memberi tunjuk ajar kepada saya.

"Dulu, kami hanya kenal tetapi tidak rapat. Apabila Syamsul mahu saya berduet dengannya menerusi lagu Kalah Dalam Menang, saya percaya inilah masanya saya menuntut ilmu dengan pengarah yang memiliki deretan filem pecah panggung seperti Syamsul.

"Allah membuka jalan untuk saya meneruskan impian mengarahkan filem yang sudah lima tahun saya pendam," katanya.

Mawi berkata, dia berbincang dengan Syamsul mengenai idea dan skrip sejak awal, sebelum memulakan penggambaran filem itu.

"Syamsul berpendapat, filem bergenre Islamik Komedi mempunyai ruang kosong dalam industri perfileman kerana jarang genre ini diketengahkan.

"Saya melabur RM1.5 juta untuk menghasilkan filem ini dengan keyakinan Syamsul. Sepatutnya, Syamsul juga berlakon dalam filem ini,

tetapi jadualnya terlalu padat.

"Alhamdullillah, penggambaran filem ini hampir selesai. Insya-Allah, saya berharap filem ini akan menemui penonton, akhir tahun ini," katanya.

Anak kelahiran Felda Taib Andak, Kulai, Johor itu berkata, dia memilih sambungan telefilem Rock Sangkut yang diarahkan pada 2014 untuk difilemkan.

"Saya tengok daripada lima telefilem yang saya arahkan, telefilem Rock Sangkut menjadi bualan. Beberapa babak dalam telefilem ini juga menjadi viral.

"Saya kaji kelemahan telefilem itu sebelum menghasilkan skrip. Saya bukannya berpengalaman, jadi sudah tentu ada kelemahan yang harus diperbaiki.

"Bagaimanapun, saya menerima banyak permintaan yang mahu mengekalkan tiga watak utama iaitu Hazama, Along dan Joey," katanya.

Berita Harian X