Selasa, 20 Februari 2018 | 4:36pm
PELAKON, Dynas Mokhtar. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Dynas nikah tauke ayam, April depan

KUALA LUMPUR: Dynas Mokhtar, 35, mengumumkan bakal bernikah dengan pengusaha ladang ayam, Shazrik Din, 36, di Shah Alam pada 21 April depan.

Mengaku bertunang pada 26 Oktober lalu, Dynas yang sudah empat tahun menjalani hidup sebagai ibu tunggal, diburu rasa gemuruh untuk menaiki jenjang pelamin sekali lagi.

"Majlis pernikahan akan berlangsung di rumah ibu di Shah Alam. Majlis bertandang akan diadakan pada 28 April di sebuah dewan di Damansara manakala resepsi di sebuah hotel di ibu negara pada 5 Mei depan.

"Alhamdulillah, persiapan lancar, cuma ada beberapa lagi perkara yang akan dibuat pada saat-saat akhir termasuk persalinan perkahwinan. Dapatlah saya kurangkan berat badan sementara menunggu hari bahagia," katanya kepada BH Online.

Dynas atau nama penuhnya, Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar mengaku gementar menunggu hari diijabkabulkan biarpun ini kali kedua buatnya.

"Apatah lagi Shazrik yang memang belum pernah berkahwin," katanya.

Berkongsi perkembangan terbaharu, Dynas dilantik sebagai sebagai pegawai pemasaran di Restoran 4Play Seafood & Co di sebuah pusat beli-belah, di sini.

Bercerita mengenai tugas baharu itu, bintang filem Tombirou ini mengaku ini kali pertama dia bekerja di bawah majikan.

"Seronok rasanya makan gaji. Saya anggap restoran ini seolah milik sendiri kerana kepercayaan yang diberi.

"Sambil bekerja, saya boleh belajar selok-belok perniagaan restoran. Insya-Allah tiada aral melintang, saya akan buka restoran sendiri dengan ibu. Premisnya sudah ada di Shah Alam," katanya.

Menerusi perkahwinan pertama, Dynas dikurniakan dua anak iaitu Khyra Khalyssa yang berusia lapan tahun dan Mohamed Haqaish, enam tahun.

Berita Harian X