Selasa, 27 Februari 2018 | 10:38pm
Nisa Kay mengaku dirinya lalai ketika mengambil bahagian dalam permainan perang bibir pada majlis pelancaran koleksi hijab Neelofa. - Foto Instagram Nisa Kay

Nisa reda musibah aksi ghairah di majlis Lofa

KUALA LUMPUR: Pengacara, Nisa Kay, mengakui terpaksa akur andai kerja kempen dilakukannya di laman sosial ditarik balik ekoran isu beliau menari ghairah pada majlis pelancaran koleksi hijab milik Neelofa, semalam.

Mengakui lalai ketika menyertai permainan perang bibir (lip-sync battle), Nisa yang juga seorang 'blogger' berkata, beliau reda dan sedia menerima apa saja kesannya.

"Setakat ini ada beberapa kempen perlu saya promosikan di Instagram. Tetapi, andai kata saya tiada kerja promosi gara-gara isu ini, saya reda. Apa yang penting, saya yakin rezeki boleh didapati di mana-mana, selagi ada doa dan usaha.

"Saya juga sedar kesan yang akan berlaku selepas ini, selain ia mencalar nama baik sendiri," katanya kepada BH Online.

Semalam, selain isu pemilihan lokasi pelancaran koleksi tudung dan sambutan ulang tahun kelahiran ke-29 Neelofa atau Lofa di sebuah kelab hiburan terkenal, nama Nisa turut terkait apabila video aksinya menari ghairah tersebar di laman sosial, menyebabkan dirinya dikecam hebat oleh netizen.

Rata-rata menyifatkan Nisa yang membawa imej bertudung tidak sepatutnya menari sedemikian, dengan disaksikan tetamu yang datang.

Sementara itu, Nisa mengaku terkejut aksi tariannya disebarkan sehingga menjadi tular, apatah lagi membaca komen netizen yang menghentam perlakuannya.

"Alhamdulillah, saya tetap kuat selepas membaca pelbagai kecaman. Saya mengambil pendekatan untuk berdiam diri dan tidak membalas komen mereka kerana itulah yang terbaik.

"Saya belajar untuk tidak melayani mereka. Masing-masing akan kecam sehinggalah kita membalas komen itu. Mujur, ibu bapa saya berada di sisi walaupun mereka menegur perlakuan saya itu," ujarnya.

Nisa turut menyifatkan apa yang berlaku pada dirinya sebagai pengajaran sangat besar buat beliau, dalam usaha menjadi Muslimah lebih baik.

Berita Harian X