Khamis, 1 March 2018 | 12:34am
PERMOHONAN maaf yang dimuat naik Neelofa pada Instagram berhubung kontroversi majlis hari jadi dan pelancaran produk tudung Be Lofa di Zouk, Isnin lalu.

'Saya bertanggungjawab sepenuhnya'

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Neelofa memohon maaf dan mengaku bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penganjuran majlis hari jadinya yang ke-29 dan pelancaran koleksi tudung Be Lofa di Zouk, Isnin lalu, yang mencetuskan kontroversi.

Memuat naik kenyataan melalui status Instagram, kira-kira sejam lalu, Neelofa memohon maaf kerana menimbulkan tekanan dan sentimen negatif berhubung pemilihan kelab malam itu sebagai lokasi acara.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih atas sokongan mereka yang faham situasi yang berlaku.

"Kami akan memberi perhatian yang lebih bagi memastikan imej produk dilindungi pada masa depan. Kami juga akan terus menjenamakan hijab hingga mencapai potensi sepenuhnya," katanya.

Neelofa mengaku dirinya tidak sempurna dan menghormati pendirian dan maklum balas orang ramai berhubung kontroversi itu.

"Saya bertanggungjawab sepenuhnya dan saya belajar daripada kesilapan," katanya.

Terdahulu, syarikat pengeluar tudung jenama Naelofar, NH Prima International Sdn Bhd memohon maaf atas kontroversi yang tercetus.

Pengarah Urusannya, Noor Nabila Mohd Noor berkata, syarikat memohon maaf terutama kepada penyokong kuat jenama Naelofar dan semua individu yang terjejas dengan insiden itu.

Isnin lalu, majlis sambutan hari jadi Neelofa dan pelancaran koleksi tudung baharu Be Lofa yang dianjurkan di Zouk, dikecam netizen kerana dikatakan tidak sesuai dengan imej pelakon dan pengacara popular itu yang bergelar Hajah.

Berikutan itu, pelbagai pihak termasuk mufti dan pertubuhan Islam menyuarakan pandangan serta nasihat kepada Neelofa termasuk memintanya bertaubat.

Berita Harian X