Khamis, 1 March 2018 | 2:10pm
PELAKON yang kini turut merakamkan lagu, Neera Azizi. - Foto: Neera Azizi

Makin dikecam, Neera lebih semangat nak nyanyi

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Neera Azizi, menganggap kritikan orang ramai terhadap mutu nyanyiannya ketika muncul dalam sebuah program televisyen sebagai pemangkin untuk membuktikan kesungguhan beliau di arena seni suara.

Katanya, sebagai anak seni, tiada istilah cepat berputus asa biarpun dirinya berdepan komen melampau netizen, sebaliknya kini sudah bersedia memasuki kelas vokal sebagai persediaan merakamkan single baharu.

"Ada yang tahu mengecam saja tanpa mengetahui (hakikat) di sebalik setiap perkara. Namun, ia tidak menjadi kudis dan paling penting, saya melihat setiap komen dari sudut positif dan akan berusaha memperbaiki kelemahan diri.

"Sebelum merakamkan single sulung, Rasa Hati, saya ada belajar vokal dan selepas ini, saya akan mempertajamkan lagi kebolehan lenggok suara di bawah bimbingan guru berpengalaman.

"Sebenarnya semakin dikecam, saya jadi lebih bersemangat untuk menghasilkan single baharu. Lagi pun, orang yang mengutuk itulah yang nak tengok video saya di YouTube atau ikuti Instagram saya," katanya kepada BH Online

Terdahulu, nyanyian pelakon drama Miss Kapten Cikgu Waiz itu sewaktu muncul dalam program MHI, minggu lalu, dikecam sebagai sumbang, malah dirinya turut diminta oleh netizen melupakan dunia nyanyian.

Setakat ini, rakaman persembahan pemilik nama sebenar Nurazneera Azizi, 20, itu ditonton lebih sejuta kali menerusi Facebook, manakala muzik video lirik Rasa Hati pula sudah mencatat lebih 30,000 tontonan di YouTube.

Sementara itu, Neera juga melihat kritikan terhadapnya sebagai hikmah apabila semakin ramai menyedari kehadirannya dalam industri hiburan.

Berita Harian X