Selasa, 6 March 2018 | 10:12am
PENYANYI, Anuar Zain, pada sidang media pengumuman persembahan amal, di ibu kota. - Foto Mahzir Mat Isa

Biarlah saya dan Allah yang tahu - Anuar Zain

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Anuar Zain, lebih selesa untuk tidak mendedahkan jumlah sumbangan bakal diberikan kepada insan kurang bernasib baik sempena konsert amalnya di Johor Bahru, 6 Mei depan.

Bagi penyanyi Andainya Takdir itu, biarlah soal berkenaan menjadi rahsia antara dirinya dengan Tuhan.

"Soal amal, biarlah antara saya dan Allah (yang tahu). Saya tak kongsi (mengenai perkara itu)," ujarnya ringkas ketika ditanya mengenai jumlah sumbangan akan dihulurkan beliau hasil kutipan persembahannya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor nanti.

Anuar berkata demikian sewaktu sidang media konsert terbabit di ibu kota. Selain dirinya, konsert anjuran E&F Event Resources itu juga menampilkan penyanyi, Zamani dan artis Singapura, Fauzie Laily.

Menerusi persembahan itu, penganjur juga akan menyalurkan sumbangan kepada Yayasan Lace Datuk Rokiah bagi membantu insan kurang berkemampuan, anak yatim, golongan asnaf, warga emas dan ibu tunggal di sekitar Johor Bahru.

Berbanding tahun lalu, penyanyi yang sudah lebih tiga dekad membina nama itu menyifatkan 2018 sebagai tahun untuknya kembali aktif.

Katanya, ketika ini, sudah ada dua konsert membabitkannya bersama-sama beberapa penyanyi lain sudah dipersetujui.

Selain persembahan amal terbabit, beliau sebelum itu akan menjayakan konsert Bunga Citra Lestari, Anuar Zain dan Yuka Kharisma Live In Concert di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pada 28 April depan.

"Insya-Allah, tahun ini memang akan ada deretan konsert berbayar yang akan membabitkan saya. Ia satu perkembangan yang menyeronokkan," katanya yang berasakan 2018 bagai membuka banyak pintu rezeki buat dirinya dan insan seni lain.

Tambah adik kepada Ziana Zain itu lagi, biarpun jarak antara dua konsert dijayakannya agak dekat, beliau tetap akan memberikan corak persembahan berbeza.

"Ia dua persembahan berbeza, malah artis yang ditampilkan juga tidak sama. Saya pastinya akan tampilkan kelainan pada dua konsert ini," katanya.

Pada konsert amal itu, Anuar dijangka mendendangkan kira-kira lapan lagu dalam persembahan yang memakan masa 45 minit.

Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan tiket menonton konsert di Johor Bahru itu, bolehlah melayari www.ticketcharge.com.my.

Berita Harian X