Selasa, 6 March 2018 | 4:50pm
AHYA Rosli dan Datuk A Aida.

Saya, Aida tiada hubungan istimewa - Ahya

KUALA LUMPUR: Pelakon, Ahya Rosli, mengaku dirinya dan penerbit drama, Datuk A Aida, tidak mempunyai sebarang hubungan istimewa.

Ahya, 30, juga menegaskan, wanita berkenaan berhak untuk bercinta dengan sesiapa saja yang diinginkan.

"Apa yang dikatakan oleh Aida sebelum ini adalah benar. Kami tidak menjalinkan sebarang hubungan. Tetapi, saya mengaku kami akrab kerana kerjasama berkaitan seni," katanya kepada BH Online.

Sebelum ini, Ahya yang juga seorang model pernah membuat pengakuan beliau berkawan rapat dan sedang mengenali hati budi produser terbabit.

Anak kepada pelakon berpengalaman, Normah Damanhuri, itu turut berkata, hubungan mereka semakin rapat selepas menunaikan umrah bersama-sama, tahun lalu.

Bagaimanapun, Aida dalam kenyataannya kepada BH Online pada 4 Mac lalu menepis dakwaan kononnya beliau menjalinkan hubungan cinta dengan pemuda itu.

Aida atau nama penuhnya, Zaidah Awang, 47, memberitahu, kenyataannya mengenai gosip cinta mereka sebelum ini disalah erti oleh sesetengah pihak.

Sebaliknya beliau berkata, dirinya kini sedang mengenali seorang lelaki berstatus kenamaan, dalam lingkungan usianya sendiri.

Sementara itu, Ahya berharap, tiada lagi pihak yang mengaitkan mereka berdua selepas ini.

"Saya harap perkara ini sudah jelas. Apa pun, saya percaya dengan jodoh yang semestinya sudah ditentukan oleh Tuhan. Kita hanya perlu tunggu dan sabar menantikan masa itu," tuturnya.

Ahya ketika ini sedang menjalani penggambaran drama terbitan syarikat A Aida Production, Mr Spotlight, bergandingan dengan Liyana Jasmay dan Amar Asyraf. Selain itu, beliau juga sibuk menguruskan perniagaan produk kesihatannya sendiri.

Berita Harian X