Selasa, 6 March 2018 | 11:00pm
Penyanyi, Siti Nordiana. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
Penyanyi, Siti Nordiana. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Usah tuduh melulu kes suami Ziana - Nana

KUALA LUMPUR: Penyanyi Siti Nordiana meminta netizen memberi ruang kepada Ziana Zain berdepan kes suaminya, Armin Zaharin Ahmad Zambri yang didakwa atas tuduhan mencederakan anak lelaki mereka, pada 25 Februari lalu.

Siti Nordiana yang lebih mesra disapa Nana memberitahu, Ziana ketika ini melalui saat yang sukar dan tidak adil bagi pihak lain membuat tuduhan melulu.

"Saya harap peminat faham dan netizen terutamanya jangan membuat kesimpulan sesuka hati... Hanya pihak terbabit tahu apa yang berlaku.

"Lagipun, hal ini sudah menjadi kes mahkamah, jadi lebih baik kita hormati," katanya kepada BH Online.

Ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam, pagi tadi, Armin, 53, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Mengikut pertuduhan, Armin yang tidak bekerja, didakwa menyebabkan kecederaan luka dan lebam terhadap seorang anaknya dengan menggunakan rotan.

Berikutan itu, Armin didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda atau sebat atau dua dari mana-mana seksaan itu.

Ziana yang mencipta populariti sejak 1991 dengan rangkaian lagu dan album hit, bagaimanapun tidak hadir pada prosiding itu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, laporan polis dibuat sendiri oleh penyanyi Kemelut Di Muara Kasih itu pada 27 Februari lalu, sebelum Armin ditahan, Jumaat lalu.

Siti Nordiana yang menjadikan Ziana idolanya berkata, sebagai seorang ibu, dirinya faham perasaan dan naluri penyanyi itu dan mendoakan beliau tabah.

Berita Harian X