Rabu, 7 March 2018 | 2:20pm
RITA Rudaini. - Foto Aziah Azmee
RITA Rudaini. - Foto Aziah Azmee

Rita kesal terpalit kontroversi Izreen, Ude

KUALA LUMPUR: Pelakon, Rita Rudaini, berang apabila dirinya turut menjadi mangsa kecaman netizen apabila Izreen Azminda dan suaminya, Radzi Abdul Wahid atau Ude, memilih untuk memadam akaun Instagram mereka sejak lima hari lalu.

Rita menegaskan, beliau sama sekali tidak terbabit dalam hal rumah tangga Izreen dan berharap orang ramai tidak menuding jari terhadap dirinya atas apa yang berlaku.

"Memang kami berkawan, namun tidaklah sampai hal peribadi pun saya hendak masuk campur. Apabila kita sudah memberikan nasihat, yang selebihnya terpulang pada individu itu sendiri.

"Saya sendiri pernah berdepan dengan kecaman daripada netizen, jadi hadapilah (kesan daripada) tindak-tanduk kita sendiri. Janganlah buat orang yang tiada kena mengena terpalit sama pula.

"Pada mulanya saya boleh berdiam diri apabila dikecam, namun lama-kelamaan ia semakin menjadi-jadi pula. Saya berharap, mereka di luar sana janganlah menghakimi tanpa usul periksa," kata Rita kepada BH Online.

Kontroversi pernikahan Izreen, 32, dengan pemuzik bebas itu kembali diperkatakan apabila suaminya memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur ke atas isteri pertama, Intan Liana Saleh, 33, pada 30 November lalu.

Ude, 30, dijangka melafazkan talak pada 22 Mac ini selepas Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Shaiful Azli Jamaludin, menetapkan tarikh itu ketika prosiding, baru-baru ini.

Rita menjelaskan, beliau terkilan apabila dua anaknya turut terjejas di sebalik kontroversi yang timbul.

"Perkara sebegini bukan saja memberi kesan buruk kepada saya, malah anak-anak juga turut terkena kesannya. Mereka semakin membesar dan sudah pandai membaca," katanya.

Menurut ibu kepada Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna ini, dirinya mungkin sudah lali dengan kecaman masyarakat, namun beliau tidak akan berdiam diri apabila ia turut menyentuh soal keluarga, terutama anak-anak.

Berita Harian X