Khamis, 8 March 2018 | 3:32pm

'Caprice baca mesej, tapi tak balas' - UNIC

KUALA LUMPUR: Kumpulan UNIC mendakwa buntu dengan sikap rapper, Caprice yang enggan bekerjasama mempromosikan lagu duet mereka, Sedar, sejak single itu dilancarkan, akhir tahun lalu.

Mewakili kumpulan itu, Fakhrul memberitahu, Caprice hanya sempat beberapa kali menjayakan siri promosi termasuk di stesen radio. Tetapi sejak kebelakangan ini, dia hanya diam membisu.

"Lazimnya, persetujuan dibatalkan Caprice pada saat-saat akhir dengan pelbagai alasan termasuk ada mesyuarat atau mahu pergi kerja. Ada juga yang dia sudah beri komitmen, tetapi tidak datang.

"Pada mulanya, kami fikir, mungkin hanya beberapa acara saja dia tidak dapat hadir. Tetapi nampaknya, majoriti daripada acara promosi yang diatur, tidak dapat dipenuhi Caprice... Janji tinggal janji," katanya kepada BH Online.

Fakhrul berkata, ketiadaan artis hip-hop itu pada siri promosi lagu ciptaan Omar K dan Ikhwan Fatanna itu menimbulkan tanda tanya peminat dan media.

"Ketiadaan Caprice memberi kesan dan tampak tidak elok buat kami. Kalau sekali dua dia tak datang, tidak mengapa. Hingga peringkat ini, kami tidak dapat sembunyikan lagi perasaan," katanya.

Tambah Fakhrul, dia dan anggota UNIC lain iaitu Najdi dan Bazli faham kesibukan dan komitmen Caprice.

"Saya pernah menghantar WhatsApp kepadanya... Hanya beberapa kali saja mesej dibalas.

"Sejak 22 Februari lalu, semua mesej yang dihantar tidak dibalas biarpun saya yakin dia membacanya. Ini kerana ada tanda atau 'tick' biru pada paparan mesej yang dihantar," katanya.

Apa yang dikesalkan, tambah Fakhrul, pegawai perhubungan awam yang ditugaskan untuk mempromosikan single Sedar juga sudah berhenti kerja kerana khuatir imejnya tercalar disebabkan gelagat Caprice.

Sementara itu, Najdi juga bingung punca Caprice berkelakuan sedemikian.

"Kalau ada yang tak kena, ia boleh dibawa berbincang. Kami tertanya-tanya kenapa Caprice jadi begini.

"Kalau diikutkan, hendak saja kami bertanya artis lain yang pernah bekerjasama dengannya," katanya.

AHLI Kumpulan UNIC, Wan Najdi (kiri) dan Fakhrulradhi di Bangsar. - Foto Mahzir Mat Isa
AHLI Kumpulan UNIC, Wan Najdi (kiri) dan Fakhrulradhi di Bangsar. - Foto Mahzir Mat Isa
Berita Harian X