Khamis, 8 March 2018 | 9:29pm

Altimet nafi 'serang' Malique dalam lagu

KUALA LUMPUR: Meledak di laman YouTube dengan video muzik lirik mencapai lebih 500,000 tontonan sejak dilancarkan akhir bulan lalu, single terbaharu Altimet berjudul 'Mambang' mengheret rapper itu ke kancah kontroversi.

Mengapa tidak, single yang kini mendaki tangga ketujuh carta trending di YouTube Malaysia itu dikatakan menjadi senjata untuk Altimet 'menyerang' Malique, iaitu bekas anggota kumpulan Too Phat.

Mendengar bait lirik dihasilkan Altimet dalam lagu ciptaan Alif Ilham bersama Emir Hermono itu, netizen pantas mengandaikan ada sesuatu yang cuba diperkatakan penyanyi itu terhadap Malique yang dianggap 'otai' dalam muzik hip-hop tempatan.

Tidak kurang juga menganggap Altimet atau nama sebenarnya, Ahmad Abdul Rahman, cuba meminta Malique keluar daripada persembunyian dan kembali berkarya.


PENYANYI, Altimet. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Bertemu Altimet, penyanyi yang mencetuskan fenomena pada Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-32 pada Januari lalu ketika mendendangkan lagu hit ciptaannya, Amboi, pantas menafikan single Mambang ada kaitan dengan Malique.

"Lagu itu sebenarnya suatu perbualan antara diri saya yang dulu dengan sekarang...ia seperti monolog atau seolah-olah saya berlawan dengan diri sendiri.

"Saya sudah jelaskan dengan panjang lebar di Twitter, namun masih ada yang berpendapat kononnya saya menyindir Malique dalam lagu itu. Jadi saya tak boleh buat apa-apa," katanya.

Perjalan seni hip-hop Malaysia

Altimet berkata, lagu itu dirakamkan setahun lalu dan ia terhasil daripada perbualannya dengan rakan yang melihat sejauh mana perjalanan seni dan hala tuju hip-hop di Malaysia yang tidak sampai pun 20 tahun.

"Kalau dulu, ketika bersama Teh Tarik Crew, saya hanya fikir mahu berentap atau 'battle' dengan rapper lain, namun sekarang saya lebih kepada lagu yang berkisar cerita rakyat.


ALTIMET ketika majlis makan malam bersama anak yatim dan golongan asnaf dari Pusat Pengurusan Al Firdaus di Damansara, Petaling Jaya, untuk meraikan kejayaannya membawa pulang trofi Persembahan Terbaik pada AJL 32. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

"Saya fikir, kalau diri saya yang dulu berjumpa dengan diri saya sekarang, sudah tentu tak kenal kerana sangat berbeza. Jadi, timbullah lagu Mambang," katanya yang bakal menyambut usia 40 tahun pada 27 November depan.

Mengaku ketika muda dirinya panas baran, Altimet berkata lagu Mambang bersifat abstrak mengikut konsep yang dicetuskannya iaitu 'aku lawan aku'.

"Mendengar lagu ini seolah-olah saya marah dengan diri sendiri, cuma orang akan fikir saya marah individu lain. Orang fikir saya marah dengan rapper lain pula...logiknya begitulah.

"Apabila saya dilihat agak otai, orang mesti ingat saya cuba 'serang' rapper otai lain, namun mustahil saya dilihat cuba 'menembak' Joe Flizzow yang bernaung di bawah syarikat sama....begitulah andaian masing-masing," katanya.


ALTIMET bergambar bersama anak yatim dan golongan asnaf dari Pusat Pengurusan Al Firdaus di Damansara, Petaling Jaya, ketika meraikan kejayaannya membawa pulang trofi Persembahan Terbaik pada AJL 32. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Ditawarkan kerja dengan syarikat rakaman

Selepas single Mambang, Altimet memberitahu dia akan melancarkan dendangan baharu berjudul Hutang, tidak lama lagi.

"Lagu Hutang akan dipromosikan tidak lama lagi. Ada orang bertanya mengapa terlalu dekat jarak antara lagu Mambang dan Hutang.

"Jawapan saya adalah lagu Mambang dirasakan tidak digemari di stesen radio. Mambang hanya menambat mereka yang mendengarnya di Internet hingga tular," katanya.

Tidak cukup itu, Altimet berkata dia merancang melancarkan antara tiga hingga empat lagu baharu sebelum November depan.

"Saya akan muncul dengan dua album iaitu pada bulan ini dan November depan. Saya juga merancang mengadakan antara dua hingga tiga konsert jelajah sebelum bersara.

"Konsert dirancang mungkin dalam skala kecil dan eksklusif atau mungkin juga salah satunya besar," katanya yang nekad meninggalkan dunia nyanyian sebaik usia menginjak 40 tahun.


ALTIMET mengaku menerima tawaran menjadi pengurus artis dan repertoire di sebuah syarikat rakaman antarabangsa. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Hasrat berhenti jadi rapper

Dalam perkembangan lain, selepas menyatakan hasrat berhenti menjadi rapper, Altimet mengaku menerima tawaran menjadi pengurus artis dan repertoire di sebuah syarikat rakaman antarabangsa.

Malah, Altimet tidak keberatan menjadi pelakon sesuai dengan kehendaknya.

"Belum ada hitam putih lagi tawaran menjadi pengurus artis dan repertoire itu...semuanya masih dalam perbincangan. Kalau saya lihat prospek bagus selain dapat membantu artis lain, kenapa harus ditolak.

"Kalau ada rezeki dalam dunia lakonan, saya okay saja. Namun, dunia lakonan takkan sama keghairahannya berbanding muzik," katanya yang teringin melakonkan watak antagonis.

Baru-baru ini, Altimet meraikan kejayaannya membawa pulang trofi Persembahan Terbaik pada AJL 32 dengan 40 anak yatim dan golongan asnaf yang menghuni Pusat Pengurusan Al Firdaus di Damansara, Petaling Jaya.

Mengulas perkara itu, Altimet bersyukur niat berkongsi rezeki dengan mereka yang menjadi tulang belakang di sebalik kejayaan lagu Amboi, terlaksana.

Info: Altimet

  • Nama sebenar - Ahmad Abdul Rahman.
  • Dilahirkan pada 27 November 1978.
  • Berusia 39 tahun.
  • Berasal dari Petaling Jaya, Selangor.
  • Genre muzik hip hop dan rap.
Berita Harian X