Khamis, 8 March 2018 | 10:29pm
Penyanyi, Datuk Jamal Abdillah bersama Isteri, Datin Zai Izatti Khiruddin, 24 bergambar ketika hadir pada sidang media "Luncheon with The Star" pada 25 April di Hotel Tenera. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Izzati 'tewas' dikelilingi peminat Jamal

KUALA LUMPUR: Bersuamikan Raja Pop yang cukup dikenali dengan vokal 'jantan', Datin Zai Izzati Khiruddin, isteri kepada Datuk Jamal Abdillah, pasti perlu membiasakan diri apabila insan tersayang dikerumuni peminat.

Itulah yang dialami Izzati, 24, apabila kali pertama berdepan dengan peminat fanatik suaminya di sebuah acara, pada awal perkahwinan mereka.

Izzati mengaku terkejut apabila suami diasak peminat yang mahu merakamkan foto kenangan.

"Seorang peminat wanita tiba-tiba menyuruh saya beranjak ke tempat lain. Dia beritahu mahu bergambar dengan suami, bukannya saya.

"Saya terkejut dengan reaksi wanita itu kerana belum terdedah dengan situasi seumpama itu.

"Tapi apabila difikirkan semula, tiada apa yang perlu dirisaukan. Ini kerana abang (Jamal) sudah memaklumkan mengenai perkara itu lebih awal," katanya kepada BH Online.

Izzati yang berasal dari Kulim, Kedah dan Jamal, bernikah di Ipoh, Perak pada 1 April 2017.

Tidak mengambil hati dengan insiden itu, Izzati memberitahu, dia belajar memahami hakikat suaminya adalah milik masyarakat. Namun, di rumah, Jamal adalah miliknya.

Sementara itu, Jamal berkata, beliau sudah memaklumkan kepada Izzati mengenai kemungkinan dirinya berdepan peminat yang ramai.

"Ketika kejadian itu, saya mahu lihat sejauh mana dia dapat menerimanya. Isteri tampak tenang, tapi di rumah dia bertanya mengenai situasi itu.

"Jadi saya terangkan semula supaya dia lebih faham. Daripada situ, saya nampak penerimaannya. Namun, saya akan tetap menjaga perasaannya sebagai insan paling dekat dalam hidup saya," katanya.

Berita Harian X