Jumaat, 9 March 2018 | 5:31pm
PELAKON, Rita Rudaini bersama anak-anaknya.
PELAKON, Rita Rudaini bersama anak-anaknya.

Ahli kelab taasub, artis masam muka - Rita Rudaini

KUALA LUMPUR: Pelakon Rita Rudaini kesal sikap segelintir kelab peminat yang terlalu taasub dengan selebriti pujaan hingga sanggup memecah belahkan hubungan sesama artis.

Rita menganggap obsesi segelintir kelab peminat terhadap artis keterlaluan hingga ada organisasi tersasar daripada matlamat awal penubuhannya.

"Penubuhan kelab peminat adalah untuk menyokong aktiviti dan kerjaya artis. Namun, saya lihat sikap segelintir mereka bercanggah.

"Ini kerana ada kelab yang akhirnya memecah belahkan hubungan sesama artis akibat sikap obsesi penyokong.

"Malah, ada kelab yang lebih beremosi mengalahkan artis sendiri. Kadang-kala, sesetengah kelab peminat terlalu taasub hingga artis bermasam muka sesama sendiri," katanya kepada BH Online.

Rita berkata, ahli kelab peminat perlu bijak membezakan antara perkara baik dan buruk sebelum membuat penilaian dalam berdepan isu atau kontroversi membabitkan artis pujaan.

"Saya lihat isu ini semakin meruncing dengan wujudnya media sosial. Ini kerana peminat bebas bersuara tanpa sekatan. Artis pula harus bijak memainkan peranan bagi memastikan perkara begini tidak bertambah buruk," katanya.

Sebelum ini, Rita meluahkan rasa terkilan apabila dirinya turut terpalit dalam kontroversi membabitkan aktres, Izreen Azminda dan suaminya, Radzi Abdul Wahid atau Ude. Nama Rita dikaitkan apabila pasangan itu memadam akaun Instagram mereka selepas dikecam netizen.

Kontroversi pernikahan Izreen, 32, dengan pemuzik bebas itu kembali diperkatakan apabila Ude memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur ke atas isteri pertama, Intan Liana Saleh, 33, pada 30 November lalu.

Ude, 30, dijangka melafazkan talak pada 22 Mac ini selepas Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Shaiful Azli Jamaludin, menetapkan tarikh itu ketika prosiding, baru-baru ini.

Berita Harian X