Jumaat, 9 March 2018 | 11:35pm
Pelakon utama Filem Lee Chong Wei Rise of the Legend, Tosh Chan (dua dari kiri), Pengarah Filem Lee Chong Wei Rise of the Legend, Teng Bee (kiri), dan Pelakon pembantu Filem Lee Chong Wei Rise of the Legend, Datuk Rosyam Nor bergambar di GSC Pavilion. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Rosyam ajak tonton filem Lee Chong Wei

KUALA LUMPUR: Pelakon, Datuk Rosyam Nor mengaku bukan mudah menghayati watak Datuk Misbun Sidek sebagai jurulatih kepada jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.

Bercakap di hadapan kira-kira 20,000 penonton pada majlis Tayangan Perdana Dunia Filem Lee Chong Wei : Rise Of The Legend di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, malam ini, Rosyam sangat teruja dapat beraksi dalam karya besar itu.

"Bukan mudah untuk menghayati dan menjiwai watak legenda badminton negara malah jurulatih kepada juara dunia. Itu yang saya cuba selami dalam membawa watak dalam filem ini.

"Saya harap, anda semua teruja menonton filem ini yang akan memberi inspirasi kepada semua," katanya.


Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (kiri), Ikon Badminton Kebangsaan, Datuk Lee Chong Wei (tengah) dan Presiden Persatuan Badminton Malaysia, Datuk Seri Norza Zakaria semasa Tayangan Perdana Dunia Filem Lee Chong Wei di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto Salhani Ibrahim

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dan Chong Wei serta keluarga turut hadir pada majlis itu.

Barisan pelakon iaitu Tosh Chan yang membawa watak Chong Wei, Jake Eng, Ahsley Hua dan Agnes Lim turut menyaksikan acara bersejarah itu.

Lebih manis, tayangan perdana itu turut meraih dua pengikhtirafan Malaysia Book of Records dan Asia Book of Records sebagai majlis tontonan terbesar di Malaysia dan Asia yang dihadiri kira-kira 2,000 penonton dari China.

Skrin gergasi LED berukuran 40 meter panjang dan 17 meter lebar dibina khas untuk tayangan itu.


Barisan pelakon yang menjayakan filem semasa Tayangan Perdana Dunia Filem Lee Chong Wei di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto Salhani Ibrahim

Filem yang diarahkan sutradara, Teng Bee dan Chong Wei terbitan CB Pictures Sdn Bhd dan MAHU Pictures Sdn Bhd itu, dipertontonkan dalam versi potongan pengarah (director's cut) berdurasi 133 minit berbanding 110 minit tayangan di pawagam.

Filem biopik Lee Chong Wei : Rise Of The Legend dijangka ditayangkan di lebih 5,000 pawagam di China, Taiwan, Jepun, Singapura, Hong Kong dan beberapa negara lain.

Berita Harian X