Sabtu, 10 March 2018 | 5:02pm
BOB Yusof. - Foto Munira Abdul Ghani

Bob enggan lagi persiakan bakat

KUALA LUMPUR: Penyanyi Bob Yusof mengakui, penyertaannya dalam program realiti, AF Megastar, tahun lalu membuka matanya supaya menilai semula langkah dan perjuangannya dalam industri muzik.

Bob atau nama sebenarnya, Yusrizan Usop, 36, berkata, andai sebelum ini perjalanan kerjaya nyanyiannya seperti tiada hala tuju, namun kini, dia semakin yakin untuk teruskan langkah apabila bakatnya kembali diterima.

"Dulu, biarpun masih aktif menyanyi, bakat saya seperti terpinggir. Saya sering ditanya ke mana menghilang? Adakah saya sudah pulang ke kampung kerana kecewa?

"Ia membuatkan saya bingung kerana saya tidak pernah berhenti menyanyi. Alhamdulillah, AF Megastar membuka mata saya untuk teruskan semula perjuangan.

"Jadual kerjaya juga padat dan lebih membuat saya gembira apabila menerima pelbagai undangan persembahan yang sebelum ini jarang diperoleh," katanya.

Tidak hanya menjadi penyanyi, Bob berkata, bakatnya turut mendapat perhatian syarikat rakaman sebagai tenaga pengajar vokal. Antara penyanyi yang mendapatkan khidmatnya termasuk Sufian Suhaimi dan Nazrief Nazri.

Sementara itu, beralih kepada perancangan menghasilkan single terbaru, Bob berkata, dia berhasrat merakamkan lagu irama Malaysia untuk menyemarakkan semula muzik itu.

Bob berkata, keinginan itu tercetus kerana bimbang irama yang pernah menaikkan namanya itu terpinggir dan lenyap apabila tiada penyanyi muda yang berani memperjuangkannya.

"Saya membesar dengan lagu etnik, malah ia sudah menjadi identiti saya. Tetapi, apabila sering menyanyikan lagu pop dan balada, ramai yang lupa saya juga mampu membawa lagu tradisional dengan baik.

"Saya berharap dapat merakamkan single irama Malaysia dalam tahun ini. Biarpun tidak banyak permintaan, saya tetap bersemangat untuk mengembalikan kegemilangannya," katanya.

Bob juga berharap akan ada penyanyi generasi muda berani tampil dengan muzik itu kerana industri tidak boleh selamanya bergantung kepada penyanyi legenda seperti Datuk Jamal Abdillah, Datuk M Nasir dan Noraniza Idris.

Bukan sekadar single, Bob juga mempunyai perancangan untuk menghasilkan album penuh berkonsepkan irama Malaysia yang diberi suntikan segar.

"Saya meminati irama zapin dan joget, malah sedang berusaha menghasilkan melodi yang diadun elemen itu. Saya sedang mencari komposer yang boleh bekerjasama untuk merealisasikan impian saya ini," katanya.

Berita Harian X