Jumaat, 16 March 2018 | 10:02am
PENYANYI berkumpulan, Estranged. - Foto Aziah Azmee

Estranged bantu penduduk pedalaman Ranau dapat bekalan elektrik

KUALA LUMPUR: Berbeza dengan kebanyakan artis lain yang mengumpul dana bagi menolong insan dalam kesusahan, kumpulan Estranged memilih untuk membantu lebih 1,000 penduduk sebuah perkampungan di pedalaman Ranau, Sabah, mendapatkan bekalan elektrik.

Bakal mengadakan konsert di perkampungan terbabit pada 23 Jun depan, vokalisnya, Rich Gimbang, berharap persembahan berkenaan dapat mengumpul lebih RM40,000 supaya bekalan elektrik hidro mampu disalurkan kepada 23 rumah di Kampung Sungai Toubang.

"Kami memilih untuk mengadakan konsert amal di sana kerana kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak jarang diberikan perhatian. Apatah lagi sudah lama mereka hidup dalam kegelapan, tanpa bekalan elektrik.

"Sebanyak RM25 daripada setiap tiket yang terjual akan disalurkan kepada Lightup Borneo bagi membolehkan mereka melakukan kerja pemasangan hidro elektrik di kampung terbabit, sebelum tiba hari konsert," katanya kepada BH Online.

KUMPULAN Estranged bakal menjelajah pekan kecil di Sabah dan Sarawak mulai Ogos depan. - Foto:Aziah Azmee

Bagi mencapai matlamat itu, Rich berkata, mereka akan tampil dengan sebuah dokumentari mengenai perkampungan berkenaan yang akan disiarkan di laman sosial Estranged, bulan ini.

Tidak mahu mengabaikan peminat di kedua-dua negeri itu, mereka turut merancang persembahan jelajah ke pekan kecil pedalaman Sabah dan Sarawak.

Bermula Ogos depan, Estranged akan singgah di 40 pekan di Sarawak dan 22 lagi di Sabah, dengan menggunakan trak yang diubahsuai menjadi pentas bergerak.

"Dua tahun lalu kami mengadakan persembahan jelajah ke institusi pengajian tinggi. Kali ini, kami memilih untuk mengadakan persembahan di pekan kecil pula dalam usaha mendekatkan lagi kumpulan ini dengan peminat.

"Ia juga menjadi medan untuk kami mempromosikan single terbaru berjudul Sebelum dan Selepas.

"Sudah ramai artis yang mengadakan siri jelajah di Semenanjung, jadi biarlah kami buat sedikit kelainan dengan menjayakannya di Borneo pula sebelum keluar dengan album baharu," katanya yang menjangkakan dapat memasarkan album berkenaan pada awal tahun depan.

Berita Harian X