Rabu, 21 March 2018 | 6:21pm
SITI Nurhaliza berkongsi gambar pertama beliau bersama bayinya yang digelar Fatimah Az-Zahra, sebentar tadi. - Foto: Instagram Siti Nurhaliza

Siti kongsi foto pertama bersama puteri

KUALA LUMPUR: Tiga hari selepas melahirkan anak perempuan yang digelar Fatimah Az-Zahra, penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza, memuatnaik foto beliau mendukung permata hatinya di laman sosial Instagram, sebentar tadi.

Mengiringi gambar berkenaan, Siti, 39, mewakili suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, 59, dan puteri sulungnya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka.

"Saya bersama suami serta anakanda kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang mengucapkan tahniah dan mendoakan kami dari mana saja anda berada, Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei dan lain-lain.

"Kepada rakan artis juga, terima kasih atas ucapan dan ingatan kalian. Alhamdulillah, saya dan anakanda dalam keadaan baik. Pihak doktor dan jururawat menjaga kami dengan baik. Terima kasih juga kepada semua pihak yang mengirimkan hadiah sehingga ke hari ini.

"Buat masa ini, saya hanya dinasihatkan untuk berehat oleh doktor," tulis penyanyi Comel Pipi Merah itu.

Perkongsian yang dimuatnaik oleh Siti kira-kira sejam lalu itu menerima hampir 150,000 tanda 'like' daripada pengikutnya dan netizen.

Semalam, keterujaan Siti dengan kehadiran cahaya mata yang sekian lama dinantikan itu turut dikongsi bersama peminat apabila beliau memuatnaik video menunjukkan pakaian pertama akan digayakan anaknya.

Video berdurasi 27 saat itu turut memperdengarkan tangisan si kecil yang disifatkan Siti secara gurauan sebagai 'sedang berlatih vokal'.

Isteri kepada tokoh korporat terkenal itu selamat melahirkan bayi seberat 3.55 kilogram secara pembedahan di sebuah pusat perubatan di ibu negara, jam 8.17 pagi, Isnin lalu.

29704 dibaca
Berita Harian X