Rabu, 21 March 2018 | 10:00pm
 PELAKON, Fasha Sandha dan Siti Elizad pada majlis tayangan episod akhir drama Syurga Yang Kedua bersama peminat di The Podium Penchala. - Foto Zunnur Al Shafiq
PELAKON, Fasha Sandha dan Siti Elizad pada majlis tayangan episod akhir drama Syurga Yang Kedua bersama peminat di The Podium Penchala. - Foto Zunnur Al Shafiq

Fasha Sandha, Siti Elizad sukar bayangkan hidup bermadu

KUALA LUMPUR: Berbicara isu poligami, subjek itu sering kali mengundang pelbagai pengertian dan keterbukaan individu dalam memahami konsep dan kepentingannya.

Bagi wanita, rata-rata pasti mengakui hidup bermadu umpama mimpi ngeri yang seboleh mungkin cuba dielak. Tidak hairanlah, ada yang skeptikal apabila lelaki mahu mengamalkan poligami atas dorongan nafsu, bukan melihat kepada faktor atau sudut kepentingan lain.

Benarlah, tak mungkin semua wanita sanggup berkongsi suami.

Bertanya isu poligami kepada dua aktres jelita, Fasha Sandha dan Siti Elizad, yang kebetulan 'bermadu' dalam drama Syurga Yang Kedua yang berakhir siarannya Isnin lalu, masing-masing ada pandangan tersendiri.

Bagi Fasha, isu poligami sangat subjektif untuk diperdebatkan, namun dia percaya setiap individu berhak mendapat syurga yang kedua dan masing-masing berhak hidup bahagia.

"Drama yang saya lakonkan ini bukan mengangkat hal poligami semata-mata. Ironinya, poligami adalah amalan halal dalam Islam, tetapi perlulah dilaksanakan secara adil dan saksama," katanya kepada BH Plus.

Tambah Fasha, jika dibicarakan secara realiti, hidup bermadu dianggap indah pada dasarnya.

"Kalau dalam Islam, Allah benarkan perkara itu terjadi dan pastinya, ia bersebab. Jika ia dilakukan secara sihat, ia pasti akan menjadi indah.

"Cuma saya tak tahulah hendak mengulas lanjut kerana perkara ini tidak berlaku kepada diri saya," katanya ditemui pada majlis tayangan akhir drama Syurga Yang Kedua di Damansara, di Petaling Jaya, dekat sini, baru-baru ini.

Majlis itu dianjurkan kelab peminat Fasha dan Elizad iaitu We Love Fasha Sandha dan Elizad Team.

Drama rantaian popular yang menggandingkan Fasha dan Elizad itu membuktikan status wanita matang bukan halangan bagi mereka memegang watak utama.

Elizad adalah isteri kepada duda beranak dua, Shamsul Baharin Rahman, yang dikahwini sejak 2015, manakala Fasha tabah mengharungi hidup sebagai ibu tunggal kepada Putra Rayfal dan Putri Raysha Jemyma.

PELAKON, Fasha Sandha pada majlis tayangan episod akhir drama Syurga Yang Kedua bersama peminat di The Podium Penchala.- Foto Zunnur Al Shafiq
PELAKON, Fasha Sandha pada majlis tayangan episod akhir drama Syurga Yang Kedua bersama peminat di The Podium Penchala.- Foto Zunnur Al Shafiq

Peminat mahu tampar

Memegang watak Vivy dalam drama itu, Fasha melangkah ke suatu tahap berbeza dalam portfolio lakonannya. Fasha berjaya membawa watak perampas dan antagonis dengan cara tersendiri.

Tidak hairanlah, ada penonton beremosi dan dikatakan mahu menampar Fasha gara-gara lakonannya.

"Watak Vivy pada mulanya orang sayang, kemudian jadi benci. Saya suka watak antagonis begitu kerana pada suatu sisi, watak dizahirkan secara lembut tetapi pada sisi lain, berbeza.

"Saya hampir jadi gila dengan karakter Vivy. Ia lari daripada watak jahat yang selalu dilakonkan. Walaupun rasa benci bersarang dalam hati, Vivy tetap 'manis' apabila memanggil madunya, Sabrina (lakonan Elizad)," katanya.

Fasha bersyukur dapat beraksi dengan pelakon mantap seperti Elizad dan Zarul Husin.

"Tanpa mereka, tak hidup watak Vivy. Emosi pelakon lain membantu saya membawa watak ini dengan baik. Rakan pelakon lain sama-sama aktif mempromosikan drama ini hingga trending,

"Kesungguhan semua pelakon yang sudah dianggap keluarga, memberi aura positif dan mendorong semua orang memberi yang terbaik," katanya.

Mengenai acara tayangan episod akhir drama terbabit, Fasha bersyukur majlis berlangsung meriah.

"Ini adalah inisiatif kelab peminat saya dan Elizad yang bergabung. Disebabkan pihak lain termasuk Astro dan syarikat produksi, Orange Tree tidak menganjurkannya, kelab peminat kami berusaha merealisasikannya dalam tempoh singkat," katanya yang menghargai usaha dan semangat peminat itu.

Fasha berkata, kelab peminatnya, We Love Fasha Sandha ditubuhkan sejak 10 tahun lalu.

"Mereka tidak jemu menyokong saya dari awal karier. Ada yang sanggup datang dari jauh semata-mata hendak bersama saya tak kira dalam acara kecil mahupun besar.

"Ketika ini, sudah ada lebih 55,000 ahli kelab peminat saya dari serata Malaysia, Singapura dan Brunei," kata Fasha yang akan melunaskan baki penggambaran drama Teratai Kemboja bagi slot Zehra untuk siaran Ramadan di TV3.

PELAKON, Siti Elizad pada majlis tayangan episod akhir drama Syurga Yang Kedua bersama peminat di The Podium Penchala. - Foto Zunnur Al Shafiq
PELAKON, Siti Elizad pada majlis tayangan episod akhir drama Syurga Yang Kedua bersama peminat di The Podium Penchala. - Foto Zunnur Al Shafiq

Izin suami kahwin lain

Bertanya Elizad soal poligami, aktres ini mengaku tidak sanggup hidup bermadu.

"Bagi saya, drama yang kami lakonkan ini bukan membuka ruang untuk orang di luar mengamalkan poligami.

"Sebaliknya, ia mengajak penonton melihat kekurangan sendiri. Watak Sabrina yang saya lakonkan dipaparkan sebagai wanita yang tidak mampu melahirkan anak sedangkan keluarga mentua mahukan cucu.

"Tekanan keluarga mentua membuatkan Sabrina berada dalam dilema," katanya.

Namun jelas Elizad, itu sekadar watak dilakonkan dan berbeza dengan pandangan dan prinsip hidupnya sendiri.

"Saya beritahu suami, kalau dia mahukan anak lagi, saya izinkan dia berkahwin lain.

"Namun, jika saya rasa tak boleh teruskan hidup bermadu, saya akan minta dia lepaskan diri ini dan teruskan hidup dengan cara tersendiri. Saya tak boleh bayangkan hal itu.

"Memang madu itu dihalalkan. Cuma saya tak nak hidup dengan bercakap buruk mengenai orang lain," katanya.

Mengenai pembabitannya dalam drama arahan Zamri Zakaria dan Bahri Umar itu, Elizad selesa bekerja dengan semua pelakon dan kru.

"Fasha sangat positif manakala pelakon lain memberi yang terbaik.

"Walaupun babak biasa, ia dihasilkan dengan baik. Tak timbul soal pelakon yang cuba menenggelamkan aktor lain atau tunjuk hebat. Bagi saya pelakon yang bagus perlu 'mengangkat' pelakon lain," katanya.

Pengacara program bual bicara wanita

Mengenai acara dianjurkan kelab peminatnya yang sudah lima tahun ditubuhkan, Elizad cukup terharu dan rasa dihargai.

"Seronok apabila ada orang hargai kita terutama yang memuji keberkesanan lakonan. Masa yang diluangkan dengan peminat dalam sesi tayangan ini cukup istimewa," katanya.

Elizad percaya semua orang perlu hidup gembira.

"Hidup ini perlu menggembirakan orang lain. Bukan hendak tunjuk riak atau artis perlu dipuja. Sebaliknya, lebih kepada menghargai momen bersama dengan peminat selain hasil kerja yang dipandang mereka," katanya.

Dalam perkembangan lain, Elizad akan mengendalikan program bual bicara membabitkan hal wanita, mulai Mei depan. Pada masa sama, dia sedang menunggu waktu penggambaran drama Dian.

Info: Siti Elizad

  • Pernah memenangi pertandingan Gempak Superstar yang menyaksikan pelakon menceburi dunia nyanyian.
  • Tahun ketiga bergelar isteri kepada Shamsul Baharin Rahman.
  • Filem pertama lakonannya, Berlari Ke Langit.
  • Melonjak naik menerusi drama Teman Lelaki Upahan.

Fasha Sandha

  • Dilahirkan di Johor Bahru pada 28 Mac 1984 dan dibesarkan di Pulau Pinang dan Perlis.

  • Nama sebenar Nur Fasha Sandha Hassan.
  • Memenangi trofi Pelakon Wanita Terbaik melalui drama Terima Kasih Ramadan pada Anugerah Skrin 2017.
  • Bertapak lebih 15 tahun dalam dunia lakonan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X