Ahad, 25 March 2018 | 10:06am
SWEET Qismina. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
SWEET Qismina. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Bukan sengaja hilang

KUALA LUMPUR: Pelakon, Sweet Qismina, 21, menafikan dia menyepikan diri daripada industri selepas meraih trofi Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH 3.0 (ABPBH 3.0), tahun lalu.

Masih aktif menerima tawaran berlakon, pemilik nama sebenar, Farhanna Qismina berkata, dia sibuk menumpukan perhatian kepada bidang pengajian dalam bidang Komunikasi Massa, sekali gus membataskan kemunculannya di kaca televisyen.

"Selepas menang anugerah, saya terus menyambung pelajaran di sebuah kolej swasta. Jadi, masa saya banyak dihabiskan kepada pengajian. Bukan menghilang, sebaliknya ada drama yang sudah tamat penggambaran masih menanti tayangan.

"Tidak dinafikan, masa saya agak terbatas. Produksi pula terpaksa mengikut jadual saya yang hanya berlakon pada hujung minggu, memandangkan hari lain saya terikat dengan kelas," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran butik, Mama Bonda by Ikhwan Mohammad, malam tadi.

Menepis dakwaan netizen yang menganggap kemunculannya sekadar untuk meraih anugerah, Sweet berkata, kemenangan itu diterima ketika dia sudah lama berhasrat menyambung pengajian.

Sweet yang kini sibuk dengan penggambaran drama 100 episod, Cinta Tiada Ganti juga menyerahkan masa depannya dalam dunia lakonan kepada rezeki.

"Ramai memberitahu, saya harus merebut peluang untuk kejar impian selepas menang anugerah. Tetapi, saya ada pendirian tersendiri. Saya hanya berserah kepada rezeki. Jika masih ada, saya akan teruskan.

"Andai sebaliknya, saya tidak perlu gusar kerana sudah ada perancangan lain selepas tamat pengajian dua tahun lagi.

"Alhamdulillah, saya masih menerima tawaran walaupun sibuk belajar. Saya perlu pandai membahagikan masa kerana tidak mahu terkejar-kejar," katanya yang akan muncul dengan drama 50 episod, Cinta Koko Coklat, bulan depan.

Berita Harian X