Isnin, 26 March 2018 | 4:12pm
HANS Isaac. - Foto Mahzir Mat Isa

'Saya tetap sokong Lofa'

KUALA LUMPUR: Datuk Hans Isaac menjelaskan pertemuannya dengan pelakon dan pengacara jelita, Neelofa di Genting Highlands, seperti rakaman video yang tersebar di laman sosial, baru-baru ini, bukanlah dirancang.

Sebaliknya, Hans memberitahu, apa yang berlaku adalah kebetulan.

"Video yang tular itu berlaku sebelum konsert berlangsung. Kami bertemu di restoran yang sama dan kebetulan meja penuh. Disebabkan mahu cepat, kami pun berkongsi meja.

"Gambar yang tersebar itu diambil oleh seorang teman, bukannya daripada telefon kami.

"Apa yang berlaku hanyalah salah faham. Jujurnya, kami memang selalu keluar bersama... Kadang-kadang kami berbincang pasal kerja. Cuma orang tak tahu yang kami berjumpa atas dasar kerja dan menganggap saya dan Lofa keluar 'dating'," katanya kepada BH Online.

Hans mengulas gosip bertebaran kononnya hubungan beliau dan Neelofa kembali bertaut selepas tersebarnya rakaman video menunjukkan mereka keluar bersama menyaksikan konsert penyanyi antarabangsa, John Legend di Genting Highlands pada 17 Mac lalu.

Memperbetulkan tanggapan nakal netizen terhadap hubungan mereka, Hans yang putus tunang tahun lalu, memberitahu, tiada persengketaan antara dirinya dengan pengacara program Meletop itu biarpun ada desas-desus mengatakan mereka tidak sehaluan selepas putus cinta.

"Walau apapun yang berlaku antara saya dan Lofa sebelum ini, kami tetap berkawan baik. Bukan dengan Lofa saja, tetapi mana-mana wanita yang pernah dikaitkan dengan saya sebelum ini, kecuali seorang. Saya tahu macam mana dirinya dan saya kenal hati budi Lofa.

"Seperkara yang saya puji mengenai dirinya, walaupun ada perkara yang dilakukannya itu salah, tetapi dia tidak malu untuk mengaku dan meminta maaf.

"Justeru, walau apapun yang berlaku kepadanya, saya akan tetap mempertahankan dirinya dan terus memberi sokongan tidak berbelah bagi," tegas aktor berusia 46 tahun ini.

Pasangan yang pernah digandingkan menerusi filem Lemak Kampung Santan ini pernah menjalin hubungan cinta, namun ia berakhir selepas kira-kira dua tahun.

Berita Harian X