Rabu, 28 March 2018 | 11:48am
UDE (kiri) dan aktor, Zahiril Adzim. - Foto NSTP

Kecoh tahi lalat Ude, Zahiril

KUALA LUMPUR: "Kalau diikutkan, saya malas mengulas benda remeh macam ini... Tapi nampaknya menjadi-jadi pula."

Aktor Zahiril Adzim kesal dirinya terpalit dalam kontroversi rumah tangga Ude dengan bekas isterinya, Intan Liana Saleh, gara-gara wajahnya yang dikatakan seiras pemuzik bebas itu lebih-lebih lagi mereka memiliki tahi lalat pada dagu.

Mengaku berkawan dengan Ude termasuk isterinya, Izreen Azminda, Zahiril berkata, tidak wajar dirinya dihambat dalam kisah sensasi itu dengan paras rupa mereka menjadi 'bahan lawak' netizen.

"Sebenarnya, saya malas hendak mengulas perkara ini... Bukan apa, ia benda remeh. Namun, saya terpanggil untuk bersuara apabila sudah menjadi-jadi.

"Kebetulan, saya dan Ude disamakan hanya kerana kami ada tahi lalat pada dagu. Saya kecewa dengan mentaliti segelintir netizen yang mempermainkan fizikal orang lain.

"Malah, ada yang memarahi saya di sosial media tanpa sebab... Tak tahulah sama ada sekadar gurauan atau mereka benar-benar keliru," katanya kepada BH Online.

Ude atau nama sebenarnya, Muhammad Radzi Abdul Wahid, 30, mencetuskan kontroversi apabila disahkan bercerai talak satu dengan Intan, 33, pada 22 Mac lalu.

Kisah menjadi panas apabila Izreen mendedahkan sudah berkahwin dengan Ude pada 8 Ogos lalu secara tertutup. Pernikahan itu dirahsiakan atas permintaan Ude.

Apabila kontroversi itu mula diperkatakan netizen, tidak semena-mena Zahiril terpalit disebabkan wajahnya yang dikatakan seiras Ude.

Zahiril berkata, dia mengenali Ude yang juga pelajar 'junior' ketika mereka menuntut di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

"Saya juga berkawan dengan Izreen namun saya bersimpati dengan Intan. Namun, saya fikir, bukan hak kita untuk menghakimi mereka kerana kita tidak layak membenci sesama Islam," katanya.

Zahiril berkata, masyarakat perlu memberi ruang kepada Ude, Izreen dan Intan serta tidak menggembar-gemburkan kontroversi yang berlaku.

Bintang filem Pekak itu juga terkilan dengan gelagat netizen yang seolah-olah bertindak di luar batasan ketika melayari internet.

"Kenapa kita terlalu mudah mencampuri urusan orang lain? Jika benar kita tidak menyukai perlakuannya, tidak perlu untuk kita membenci orang sesuka hati.

"Orang kata, kalau tidak suka sesuatu, lebih baik jangan lihat. Tetapi saya perlukan media sosial kerana bekerja dalam bidang seni. Sebenarnya, saya sudah lama tidak buka akaun Facebook, Twitter jarang-jarang digunakan dan hanya aktif di Instagram," katanya.

Berkongsi perkembangan karier, Zahiril memberitahu, dia baru selesai menjalani penggambaran drama mini bersiri berjudul KL Gangster Underworld yang menggandingkannya dengan Beto Kusyairy, Nabila Huda dan Azhan Rani.

Berita Harian X