Rabu, 28 March 2018 | 1:07pm
ELISYA Sandha. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
ELISYA Sandha. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

'Jangan ambil kerana saya adik Fasha Sandha'

KUALA LUMPUR: Biarpun semakin selesa mencipta nama dalam dunia lakonan, Elisya Sandha, 19, mengakui masih belum dapat lari sepenuhnya daripada dibayangi populariti kakaknya, Fasha Sandha.

Elisya yang aktif berlakon sejak usia 15 tahun berkata, nama kakaknya pasti dikaitkan setiap kali dia menghadiri sesi uji bakat, namun ia tidak menghalangnya untuk berdiri atas bakat sendiri.

Pemilik nama lengkap, Nur Elisya Mohd Faisal itu akur, setiap bakat baharu pasti berdepan cabaran dan dugaan untuk mengukir nama, apatah lagi kakaknya sudah membina reputasi tersendiri sebagai pelakon.

Dia bagaimanapun, berharap pihak produksi menerimanya kerana bakat dan bukan disebabkan populariti Fasha.

"Selalu saya beritahu produksi, jika saya punya bakat, ambillah saya. Jika sebaliknya, tidak perlu ambil. Jangan terima kerana saya adik Fasha.

"Lihatlah saya sebagai produk dan nilai saya atas bakat yang ada. Memang saya sedang merangkak untuk mengasah bakat, tetapi tidak mengapa.

"Saya ambil setiap peluang yang datang dan tidak akan berputus asa mengasah kemampuan sehingga berjaya," katanya.

Elisya berkata, Fasha tidak pernah mencampuri urusan kerjaya seninya, namun tidak lokek membantu jika diminta pandangan.

"Jika menerima watak berat, saya akan merujuk pendapatnya. Dia tidak banyak bercakap, sebaliknya mahu saya berfikir dan menggali sendiri tuntutan setiap watak.

"Ada juga teknik lakonan yang dikongsi, selebihnya saya perlu mencorakkan sendiri karakter," katanya.

Baru selesai menjalani penggambaran drama Mimpi Yang Sempurna dan Wanita Yang Dikasihi untuk siaran RTM, Elisya juga mengakui, tidak mudah mengekalkan disiplin kerja, terutama dari segi masa seperti dipraktikkan kakaknya.

Namun, demi menjaga reputasi dan nama baik kakaknya, Elisya berusaha memastikan perkara itu diutamakan supaya tidak menjadi buah mulut produksi.

"Kakak sememangnya dikenali dengan disiplin kerja yang sangat memuaskan. Mahu atau tidak, saya perlu mencontohinya. Saya tidak mahu leka kerana bimbang jika menimbulkan masalah, pasti nanti namanya terpalit sama.

"Sejak mula berlakon, saya terapkan dalam diri untuk menjaga nama baik dan disiplin. Itu janji saya kepada kakak, tetapi ia tidak mudah. Saya percaya pengurusan masa yang baik memudahkan kerja," katanya.

Berita Harian X