Khamis, 29 March 2018 | 12:00am
DYNAS berharap majlis perkahwinan yang akan berlangsung pada 21 April ini menjadi kenangan terindah yang tidak mungkin dilupakan. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Nikah kali kedua, Dynas enggan pentingkan diri

KUALA LUMPUR: Kurang sebulan bakal disatukan dengan jejaka pilihan, Dynas Mokhtar mengakui dirinya diburu debaran terutama untuk memastikan segala perancangan menjadi kenyataan.

Biarpun ia bukan perkahwinan pertama, ibu kepada dua cahaya mata, Khyra Khalyssa, 8, dan Mohamed Haqaish, 6, berharap majlis yang akan berlangsung pada 21 April ini menjadi kenangan terindah yang tidak mungkin dilupakan.

Selesa bersederhana, Dynas atau nama lengkapnya, Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar, 35, bagaimanapun akur dirinya tidak boleh mementingkan diri memandangkan ia adalah perkahwinan pertama bakal suaminya, Shazrik Din, 36.

"Jika ditanya mengenai perasaan, pastinya keterujaan lebih dirasai bakal suami memandangkan ini pengalaman pertama dia ke jenjang pelamin. Namun secara peribadi, saya tetap berdebar, biarpun sebelum ini pernah melalui pengalaman manis itu.

"Bagaikan tidak percaya, semua ini akan berakhir dengan ikatan perkahwinan. Mungkin kerana sebelum ini, saya tidak begitu serius memikirkan perancangan untuk menamatkan zaman solo. Alhamdulillah, jodoh kami kuat.


DYNAS dan anak-anak bersama bakal suaminya, Shazrik Din.

"Memikirkan tarikh pernikahan yang semakin hampir, pelbagai perasaan bercampur-baur. Biarpun mahukan majlis yang ringkas, kami inginkan acara ini menjadi sesuatu yang istimewa untuk dikenang sampai bila-bila," katanya.

Mengakui segala persiapan utama sudah selesai, pelakon yang mula mencipta nama sebagai model dan pengacara itu berkata, mereka tidak menetapkan tema tertentu untuk ketiga-tiga majlis yang akan berlangsung itu.

"Cukup bagi kami bersederhana dan tidak berlebihan. Saya tidak mahu pelamin dihiasi terlalu banyak bunga-bungaan kerana pendekatan seperti itu sudah terlalu biasa.

"Saya lebih tertarik dengan teknik permainan cahaya kerana mahukan konsep yang lebih segar. Perkara itu sudah saya jelaskan kepada perancang perkahwinan kami.

"Mereka agak terkejut, namun bersetuju dengan cadangan saya. Kita tunggu dan lihat saja bagaimana hasilnya nanti," katanya.

Anak beri restu

Dynas berkata, dia terharu apabila dua anaknya turut memberikan restu.

"Mereka begitu teruja apabila mendapat tahu saya dan Shazrik akan mendirikan rumah tangga. Melihat senyuman di wajah mereka, saya yakin Shazrik pilihan tepat untuk memimpin keluarga kecil kami nanti," katanya.


DYNAS inginkan majlis perkahwinannya menjadi sesuatu yang istimewa untuk dikenang sampai bila-bila. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Dynas dan Shazrik yang juga pengusaha ladang ternakan ayam bertunang pada 26 Oktober lalu. Majlis pernikahan mereka akan berlangsung di kediaman keluarga Dynas di Shah Alam pada 21 April ini, disusuli majlis bertandang pada 28 April di sebuah dewan di Damansara.

Pasangan itu juga akan sekali lagi diraikan dalam majlis resepsi di sebuah hotel di ibu negara pada 5 Mei ini.

Bakal suami berjiwa besar

Mengenali Shazrik sejak usia 17 tahun, Dynas berkata dia tertarik dengan sifat positif yang ada pada jejaka itu, sekali gus membuka hatinya untuk kembali melangkah ke alam perkahwinan. Pasangan itu mulai rapat sejak tiga tahun lalu.

"Menjadi impian saya jika ditakdirkan bertemu jodoh, saya berharap dipertemukan dengan seseorang yang dapat membimbing diri ini menjadi manusia yang lebih baik.

"Saya sudah terbiasa berdikari, malah sebelum meluahkan sesuatu saya akan berfikir panjang. Saya memerlukan lelaki yang berjiwa besar dan berdisiplin untuk membimbing saya. Dalam kehidupan berumah tangga, hanya ada seorang pemimpin.

"Saya lihat ciri itu ada pada Shazrik. Melihat kesungguhannya, saya juga berusaha memperbaiki diri. Biarpun sibuk dengan pelbagai komitmen, saya tidak lupakan tanggungjawab menguruskan rumah. Saya juga menguasai skil memasak contohnya sebagai persediaan menjadi isteri," kata Dynas.


DYNAS akur dirinya tidak boleh mementingkan diri memandangkan ia adalah perkahwinan pertama bakal suaminya, Shazrik. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Info
Dynas Mokhtar

  • Nama penuh - Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar.
  • Mendirikan rumah tangga dengan Mohd Hafizy Hafiz pada 15 Mac 2008, namun berpisah pada 25 Februari 2014.
  • Dikurniakan dua cahaya mata hasil perkahwinan pertama iaitu Khyra Khalyssa dan Mohamed Haqaish.
  • Berbakat sebagai model, pelakon dan pengacara selain turut menceburi dunia perniagaan.
  • Dynas dan Shazrik bertunang pada 26 Oktober lalu di Shah Alam.
Berita Harian X