Khamis, 29 March 2018 | 12:06pm
PENYANYI, Ryan Deedat. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
PENYANYI, Ryan Deedat. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Ryan Deedat bawa Salimah ke AS

KUALA LUMPUR: Meskipun ada beranggapan dia menyimpan angan terlalu tinggi, penyanyi baharu yang popular dengan lagu Salimah, Ryan Deedat percaya, tiada yang mustahil dalam hidup ini.

Ingin membawa muziknya ke pasaran Amerika Syarikat (AS), Ryan atau nama sebenarnya, Sheikh Eamir Deedat, 26, yakin usaha itu akan menjadi kenyataan dengan perancangan rapi dan teliti.

"Saya sedar ramai yang ragu, malah menganggap harapan saya terlalu tinggi kerana mahu menembusi pasaran AS. Terserah kerana bagi saya, kita perlu berani menyahut cabaran.

"Disebabkan itu, saya memilih untuk menggabungkan elemen pop moden dan tradisi dalam Salimah. Jika lagu seperti Despacito berjaya melakar kejayaan, kita juga mampu melakukannya," katanya.

Ryan sudah enam tahun mencuba nasib dalam industri muzik tempatan bersama sebuah kumpulan rock alternatif. Namun, rezeki masih belum menyebelahi membuatkan dia beralih kepada kerjaya solo.

Bercerita lanjut mengenai perancangan membawa Salimah ke persada antarabangsa, anak kelahiran ibu kota itu berkata, ia bertitik tolak daripada perbincangannya bersama komposer lagu itu, Adam Armin.

Katanya, Adam kini bekerja di bawah label Sony Music di Los Angeles (L.A) dan maklum dengan aliran muzik semasa yang cenderung kepada lagu berirama global seperti Despacito.

Adam juga pernah terbabit menghasilkan lagu untuk Chris Brown, Sheryl Crow dan Cleydee. Seandainya segala perancangan berhasil, Ryan dijangka terbang ke LA pada September ini untuk membawa Salimah menawan pasaran antarabangsa.

"Lagu ini akan dirakam dalam bahasa Latin dan Inggeris sebagai strategi pasaran antarabangsa. Setakat ini, Salimah mendapat sambutan yang baik di pasaran tempatan dengan hampir 150,000 tontonan di YouTube.

"Berdasarkan perbincangan awal, pengurusan di sana merancang untuk terlebih dulu memperkenalkan di Mexico dan Amerika Latin, sebelum dibawa ke AS. Saya hanya berdoa segala perancangan akan berjalan lancar," katanya.

Berita Harian X