Khamis, 29 March 2018 | 1:55pm
USAHAWAN yang dikaitkan dengan pelakon Elfira Loy, Asyraff Mazlan, ketika menghadiri majlis koleksi raya LeeyanaRahman di Hotel Majestic Kuala Lumpur. - Foto: Nurul Syazana Rose Razman
PELAKON, Elfira Loy. - Foto: Muhd Zaaba Zakeria

Asyraff masuk hospital

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan yang dikaitkan dengan Elfira Loy, Asyraff Mazlan, 30, mengakui dimasukkan ke hospital selepas berdepan tekanan gara-gara dituduh menjadi punca pelakon itu putus tunang.

Katanya, serangan netizen di laman sosial yang berterusan memaksanya mendapatkan rawatan, namun dinasihatkan doktor supaya berehat di wad, sehari selepas gambar mereka tersebar.

"Saya terkejut apabila dituduh sebagai orang ketiga sedangkan kami cuma kawan biasa. Kebetulan, saya ada memuat naik gambar kami ketika di Makkah sebelum itu dan kemudian meraikan pula hari jadi saya selepas kembali ke ibu kota.

"Kesannya, saya turut terkena tempias isu berkenaan. Ramai yang mengecam di laman sosial, tidak kurang yang sanggup DM (mesej secara terus) dengan pelbagai kata-kata kurang enak sampai saya terpaksa tutup ruangan komen dan tukar 'mode' Instagram kepada peribadi.

"Berikutan tekanan, saya mendapatkan rawatan dan ditahan di wad selama tiga hari. Mujur orang sekeliling faham, terutama keluarga dan teman wanita saya," katanya ketika ditemui pada majlis pertunjukan fesyen Leeyana Raya, di sini.

Memaklumkan sudah mempunyai teman istimewa sejak tiga tahun lalu, Asyraff berkata, kekasih dan kawan rapat mengetahui sikapnya yang suka bergurau selain kerap keluar dengan kenalan wanita atas urusan perniagaan.

"Saya rasa keterangan gambar 'jumpa jodoh di Makkah' itu antara yang membuatkan orang salah sangka. Saya cuma bergurau. Kekasih pun tahu saya dan Elfira cuma kawan biasa.

"Lagi pun, waktu itu saya sudah tahu dia sedang berdepan masalah. Tetapi tidaklah sampai dia luahkan kepada saya. Saya pun enggan ambil tahu hal peribadi kawan kalau mereka tidak mahu berkongsi. Cuma dalam hal ini, saya harap tiada lagi tuduhan.

"Persahabatan saya dengan Elfira juga macam biasa. Kami masih bertanya khabar. Bukan dengan dirinya saja saya berkawan, malah ada ramai lagi rakan saya dalam industri hiburan, termasuk dari Indonesia," kata lelaki kelahiran Kluang, Johor itu.

Tegasnya, tiada istilah menumpang populariti atau sengaja cuba mencetuskan kontroversi daripada sekeping gambar demi menjual produk keluarannya.

"Saya ikhlas berkawan dengan orang, tanpa mengira status atau siapa dirinya. Jadi, tidak perlu tuduh saya menghimpit artis untuk glamor. Saya sudah lama berkawan dengan beberapa selebriti, bukannya baru sekarang," ulasnya lagi.

Sekitar bulan lalu, netizen membuat andaian Asyraff ialah kekasih baharu pelakon drama Separuh Jiwaku itu, sekali gus menjadi punca terlerai ikatan pertunangan Elfira dengan penyanyi, Sufian Suhaimi.

Berita Harian X