Sabtu, 31 March 2018 | 12:22pm
Usahawan dan penerbit, Datuk Norman Abdul Halim. - Foto Fariz Iswadi Ismail
Usahawan dan penerbit, Datuk Norman Abdul Halim. - Foto Fariz Iswadi Ismail

KRU ambil jurulatih mantapkan stamina

KUALA LUMPUR: Usahawan dan penerbit, Datuk Norman Abdul Halim mengakui, KRU mendapatkan khidmat jurulatih kecergasan bagi membantu meningkatkan stamina sebagai persediaan Konsert KRU25.

Katanya, selain pemilihan lagu, konsep, rekaan pentas, visual dan penataan cahaya, stamina ketiga-tiga anggota kumpulan itu juga antara perkara yang diberi keutamaan menjelang 4 Mei depan.

"Sekarang kami sudah mula menjalani latihan termasuk menguatkan fizikal menerusi senaman di rumah dengan bimbingan jurulatih, selain bermain badminton dua kali seminggu.

"Persiapan kali ini memang berganda memandangkan ia berlangsung selama tiga hari hingga 6 Mei. Kami mahu cergas di atas pentas. Persediaan mental dan fizikal sangat penting, tambahan pula jarak dengan persembahan mega terdahulu sudah agak lama, kira-kira dua tahun lalu," katanya kepada BH Online.

Sambutan ulang tahun ke 25 kumpulan yang membariskan trio bersaudara termasuk Yusry dan Edry itu sebenarnya sudah bermula sejak Ogos 2016 menerusi konsert di Esplanade, Singapura.

Kali ini, Istana Budaya pula menjadi lokasi untuk mereka menyajikan rangkaian lagu malar segar yang direalisasikan sejak KRU ditubuhkan pada tahun 1992.

"Setiap kami mempunyai tugas tertentu. Yusry contohnya lebih kepada pengarah kreatif yang menyusun atur konsep persembahan mega ini dengan menggarapnya kepada elemen penceritaan.

"Mereka yang membesar dengan KRU bakal dibawa menjelajah terowong masa bersama rangkaian lagu hits seperti Awas, Oh La La dan Apa Saja, sekali gus mengimbas nostalgia lalu.

"KRU25 di gelanggang berprestij ini juga kami rasakan sangat istimewa dan lebih intim. Jadi, kami mahu zahirkan setiap lagu bersama visual serta penataan LED yang tepat," katanya lagi yang menggunakan kepakaran Jovian Mandagie sebagai penata gaya.

Berita Harian X