Ahad, 1 April 2018 | 10:30am
Pelakon, Hafreez Adam ketika sidang media drama Monalisa tayangan Astro Prima di Hotel Pullman. Gambar kecil, Zara Zya. - Foto Hafiz Sohaimi

Hafreez ikhlas cintai Zara Zya

KUALA LUMPUR: Pelakon Hafreez Adam, 28, mengakui ikhlas menyintai Zara Zya dan tidak melihat jarak usia empat tahun tahun sebagai halangan untuk mereka menjalin hubungan sebagai kekasih.

Mula rapat sejak enam bulan lalu, Hafreez atau nama sebenarnya, Hafreez Adam Aizat Zahalan, berkata mereka sengaja tidak menghebahkan berita itu kerana bimbang disalah tafsir.

"Ketika hubungan cinta berputik, kami sedang menjalani penggambaran drama bersiri, Monalisa. Bimbang juga jika terlalu menggembar-gembur, orang menganggap kami menggunakannya sebagai ruang untuk melariskan drama.

"Disebabkan itu, kami lebih selesa mengunci mulut. Tetapi, saya dan Zara tidak pernah berahsia kerana mereka yang berada di set penggambaran tahu hubungan kami.

"Sesekali, kami turut memuat naik gambar bersama di laman Instagram. Ada peminat yang mula menyedarinya dan jika ditanya, kami tidak pernah berahsia," katanya yang sudah empat tahun mengenali Zara.

Hafreez berkata, dia selesa dengan kematangan Zara, malah menyifatkan pelakon yang dikenali menerusi drama Love You Mr Arrogant itu sebagai wanita yang tahu membahagiakannya.

"Zara sentiasa membuat saya tersenyum dengan telatah lucunya. Dia juga tidak mudah cemburu dan sangat memahami. Mungkin kerana kami bekerja dalam bidang yang sama, jadi kami mudah menyesuaikan diri.

"Ini kali pertama saya jatuh cinta dengan pelakon dan sudah pasti, saya berharap hubungan ini akan membawa kami ke jenjang pelamin," katanya.

Mengakui pernah berbincang mengenai perancangan masa depan, namun Hafreez berkata, dia meletakkan sasaran untuk menamatkan zaman bujang sebelum mencecah usia 30 tahun.

Ditanya mengenai gosip mengatakan dia bermasam muka dengan Nazim Othman, pelakon yang pernah menjulang trofi Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2014 itu menganggap ia hanya salah faham.

"Saya akui tidak begitu rapat dengan Nazim, tetapi kami tidak mempunyai masalah. Salah faham ini berlaku ketika kami menghadiri satu sidang media, baru-baru ini. Saya terlepas pandang dan tidak bersalam dengannya.

"Mungkin dari situ, orang ingat kami bermasalah, tetapi sebenarnya tiada apa-apa. Kami juga tidak pernah bersemuka mengenai perkara ini kerana tiada apa yang perlu dibangkitkan," katanya yang akan tampil dengan drama Sara Kirana dan Gantung.

Berita Harian X