Sabtu, 7 April 2018 | 10:52pm
ANTARA pengunjung yang hadir menyaksikan konsert sempena Gegaria Fest di Dataran Centrio Seremban 2. - Foto Zunnur Al Shafiq
ANTARA pengunjung yang hadir menyaksikan konsert sempena Gegaria Fest di Dataran Centrio Seremban 2. - Foto Zunnur Al Shafiq
KUGIRAN Masdo membuat persembahan pada konsert sempena Gegaria Fest di Dataran Centrio Seremban 2. - Foto Zunnur Al Shafiq
PENYANYI, Noh Salleh membuat persembahan pada konsert sempena Festival Gegaria 2018 edisi keenam di Dataran Centrio Seremban, Negeri Sembilan. - Foto Iqmal Haqim Rosman.
PENYANYI, Waris membuat persembahan pada konsert sempena Festival Gegaria 2018 edisi keenam di Dataran Centrio Seremban, Negeri Sembilan. - Foto Iqmal Haqim Rosman

15,000 meriahkan konsert Festival GegaRia

SEREMBAN: Kemeriahan konsert sempena Festival GegaRia terus dirasakan apabila lebih 15,000 peminat hadir menyaksikan persembahan artis kesayangan mereka di Dataran Centrio, Seremban 2, malam ini.

Pada festival yang memasuki edisi keenam itu, peminat dihiburkan dengan aksi mantap Noh Salleh, Waris, Kugiran Masdo dan kumpulan Bunkface.

Noh, yang setia menjelajah bersama festival gaya hidup dan hiburan anjuran Media Prima Berhad sejak ia dimulakan di Shah Alam pada 13 Januari lalu, menghiburkan penonton dengan tiga lagu, Sang Penikam, Angin Kencang dan Kotak Hati.

Penyanyi rap kelahiran Negeri Sembilan, Waris, pula menyambung kehangatan acara dengan mempersembahkan Lagu Bola, This Is Pilah dan lagu yang memperkenalkan dirinya di persada seni, Rembau Most Wanted.

Tampak begitu dekat dengan peminat, kemunculan bintang rap terbabit nyata meninggalkan kenangan tersendiri buat mereka yang hadir.

Seperti biasa, kemunculan Kugiran Masdo yang memperjuangkan muzik dengan sentuhan pop era 60-an sentiasa ditunggu peminat. Tidak menghampakan khalayak di Seremban, mereka memanaskan pentas dengan lima lagu, iaitu Teruna Dan Dara, Bunga, Bercanda di Malam Indah, Malam Pesta Muda Mudi dan Malam Pesta Rock & Roll.

Tapak acara persembahan bagai bertukar menjadi pesta muda-mudi lima dekad lalu apabila kumpulan dengan imej kemas itu mula memperdengarkan muzik mereka.

Menutup tirai konsert kali ini ialah kumpulan Bunkface yang dianggotai oleh tiga pemuzik, Paan, Youk dan Sam.

Sememangnya, kumpulan yang mula mencipta nama sekitar 2008 itu bijak untuk memukau penonton apabila memilih untuk mempersembahkan lagu rancak seperti Malam Ini Kita Punya, Rentak Laguku dan Revolusi sebagai hiburan mereka.

Konsert yang sudah pasti meninggalkan memori cukup manis buat pengunjung Festival GegaRia itu diacarakan oleh penyampai Hot FM, Issey dan El.

Festival hipster yang semakin mendapat perhatian ramai terbabit akan meneruskan pengembaraannya ke destinasi terakhir, Sungai Petani, Sabtu ini.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai acara ini, orang ramai boleh ke Facebook atau Instagram GoGegaRia.

Berita Harian X