Isnin, 9 April 2018 | 12:00am

Buat apa taja kalau nak menggatal - Risteena Munim

KUALA LUMPUR: Entah mengapa, nama Risteena Munim dalam dunia lakonan seolah-olah tenggelam timbul jika dibandingkan dengan pencapaian adiknya, Ruhainies.

Walaupun tahun ini saja tiga filem lakonannya menjengah pawagam, entah di mana silapnya Risteena dilihat kurang menjadi sebutan.

Dalam tertanya-tanya ke mana pelakon filem Girlfriend Kontrak ini menghilang, HIP tiba-tiba mendapat undangan menghadiri majlis pelantikan Risteena sebagai pengarah urusan di sebuah syarikat penjagaan kulit dan kosmetik.

Tentunya berita ini sesuatu yang mengejutkan. Tanpa angin dan ribut, tiba-tiba Risteena atau nama penuhnya, Nur Risteena Munim Zainul Ilyas, sudah bergelar ahli perniagaan.

Lumrahnya, jika seseorang artis apatah lagi berstatus solo dan cantik, ada saja pihak melempar prasangka dari mana datangnya modal untuk membuka perniagaan.

PELAKON Risteena Munim pada majlis pelantikannya sebagai Pengarah Urusan Cantik Dara Sdn Bhd di G Tower. - Foto Luqman Hakim Zubir
PELAKON Risteena Munim pada majlis pelantikannya sebagai Pengarah Urusan Cantik Dara Sdn Bhd di G Tower. - Foto Luqman Hakim Zubir

Dalam erti kata lain, mudah untuk individu berniat serong menyimpulkan bahawa perniagaan pelakon berusia 28 tahun itu ditaja lelaki hartawan yang mengharapkan sesuatu sebagai pulangan.

Tenang berdepan kemusykilan itu, Risteena meluahkan dia bukanlah wanita yang mudah dikaburi dengan kemewahan. Baginya, untuk apa mendapat kesenangan dengan cara mudah jika tidak kekal lama.

"Kalau betul saya nak ambil kesempatan, sudah lama saya buat iaitu ketika nama saya popular dulu. Waktu itu, memang saya banyak dapat tawaran untuk menjadikan saya rakan kongsi dan duta. Bagi saya, kalau seseorang itu ada niat lain, lupakan saja.

"Buat apa nak taja kalau tujuan nak menggatal. Kalau buka perniagaan kerana ditaja, bila-bila masa saja dia boleh buang kita dan terpaksalah kembali ke dunia lakonan macam biasa.

"Disebabkan itu, saya lebih yakin buat perniagaan sendiri bersama seorang rakan kongsi wanita," katanya pada majlis penjenamaan semula dan pelantikannya sebagai pengarah urusan Syarikat Cantik Dara Sdn Bhd di ibu negara, baru-baru ini.

PELAKON Risteena Munim bersama sebahagian produk Cantik Dara pada majlis pelantikannya sebagai Pengarah Urusan Cantik Dara Sdn Bhd di G Tower. - Foto Luqman Hakim Zubir
PELAKON Risteena Munim bersama sebahagian produk Cantik Dara pada majlis pelantikannya sebagai Pengarah Urusan Cantik Dara Sdn Bhd di G Tower. - Foto Luqman Hakim Zubir

Tambah Risteena, bukan kecil anak modal yang dikeluarkan daripada hasil simpanannya sepanjang lima tahun menjadi anak seni.

"Dalam membuka perniagaan ini, saya berkongsi dengan seseorang yang lebih selesa bekerja di belakang tabir. Sebagai selebriti, lebih baik saya yang ke depan kerana dapat membantu dari segi pemasaran.

"Ratusan ribu ringgit saya berhabis...semua itu adalah duit hasil titik peluh saya selama lima tahun berlakon.

"Dunia lakonan sukar untuk dijangka. Suatu hari nanti saya mungkin tiada tawaran berlakon dan orang bertanya, Risteena buat apa sekarang. Saya tak mahu jadi begitu...lebih baik ada bisnes yang boleh buat saya bertahan," katanya.

Suami orang cuba dekati

Mengaku masih belum mempunyai teman istimewa, itu bukan bermakna pelakon berasal dari Pulau Pinang ini mudah dijerat cinta suami orang.

Akui Risteena, dia masih belum terdesak untuk berumah tangga sehingga terpaksa mengharap cinta daripada lelaki berkeluarga.

"Tak dinafikan memang ada lelaki berstatus suami orang yang cuba mendekati, tetapi kalau saya tengok cara dia lain macam, saya awal-awal tarik diri.

PELAKON, Risteena Munim ketika tayangan perdana filem Qhaliq di e@Curve, Mutiara Damansara. - Foto Halim Salleh
PELAKON, Risteena Munim ketika tayangan perdana filem Qhaliq di [email protected], Mutiara Damansara. - Foto Halim Salleh

"Saya akur dengan hakikat lelaki boleh kahwin lebih daripada satu, tetapi sebagai wanita, kita boleh elak untuk berkahwin dengan suami orang.

"Saya tak kecam mereka yang mungkin sudah ditakdirkan hidup sebegitu, cuma saya memang anti dengan lelaki gatal yang masih mempunyai keinginan untuk mengurat wanita lain, walhal sudah berkahwin," tegasnya.

Diusik soal jodoh, Risteena awal-awal lagi sudah meletakkan syarat lelaki yang menjadi idamannya sebagai teman hidup.

"Saya tak kisah kalau lelaki itu tidak boleh memberikan kemewahan, asalkan dia dapat menyayangi dan menjaga saya dengan baik. Saya juga berharap ditemukan dengan lelaki bukan 'kaki perempuan' kerana saya pernah melalui pengalaman itu.

"Bagaimanapun, buat waktu ini fokus saya adalah pada lakonan dan perniagaan. Ibu juga ada berpesan supaya saya jangan kahwin dulu. Sebaliknya, dia menyuruh saya mengumpulkan harta sebelum mendirikan rumah tangga," katanya.

Sudah berlakon tujuh filem

Beralih kepada kerjaya lakonan, Risteena berkata walaupun namanya tidak sehebat pelakon wanita lain, masih ada perkara yang membuatkan dirinya bangga.

"Untuk tahun ini saja, saya ada tiga filem. Sebelum ini filem Hantu Wangan dan tidak lama lagi, Qhaliq dan Blok 404 menyusul.

"Sepanjang lima tahun dalam bidang ini, saya sudah ada tujuh filem dan itu bagi saya, suatu pencapaian peribadi," katanya.

Mengenai isu filem Qhaliq yang ditangguhkan tayangannya bagi memberi laluan kepada Dukun, Risteena mengakui dia tak ada masalah dengan perkara itu.

PELAKON Risteena Munim bersama sebahagian produk Cantik Dara pada majlis pelantikannya sebagai Pengarah Urusan Cantik Dara Sdn Bhd di G Tower. - Foto Luqman Hakim Zubir
PELAKON Risteena Munim bersama sebahagian produk Cantik Dara pada majlis pelantikannya sebagai Pengarah Urusan Cantik Dara Sdn Bhd di G Tower. - Foto Luqman Hakim Zubir

"Jika itu dapat memberi kebaikan kepada kedua-dua belah pihak, saya ikut saja. Lagipun orang ramai teruja hendak tengok filem Dukun selepas 12 tahun terperap," katanya.

Mengenai perancangan masa depan, Risteena memberitahu dia mungkin akan memperlahankan karier lakonan untuk lebih fokus kepada dunia perniagaan.

INFO: Risteena Munim

  • Nama sebenar: Nur Risteena Munim Zainul Ilyas
  • Umur: 28 tahun
  • Asal: Pulau Pinang
  • Kakak kepada pelakon, Ruhainies.
  • Mula dikenali menerusi drama bersiri Playboy Itu Suami Aku yang ditayangkan di TV3, lima tahun lalu.
  • Filem Girlfriend Kontrak menyaksikan Risteena memegang watak utama di samping Keith Foo.
Berita Harian X