Selasa, 10 April 2018 | 12:10pm
PELAKON, Datin Diana Danielle. - Foto Zunnu Al Shafiq

'Kenapa perlu skeptikal?

KUALA LUMPUR: Datin Diana Danielle terkilan apabila segelintir masyarakat berterusan memandang rendah terhadap kemampuan pelakon yang mencuba nasib dalam bidang nyanyian.

Diana atau nama penuhnya, Diana Danielle Beeson, 26, turut berdepan pandangan skeptikal itu ketika tampil dengan single solo pertama, Tentang Kita, tahun lalu.

Bangkit daripada kritikan, Diana bertekad, mahu mengubah persepsi umum dengan menampilkan single terbaru yang mencabar vokalnya, Infiniti, berduet dengan penyanyi dan komposer, Reyza Hamizan.

"Orang selalu menganggap, pelakon tidak boleh menyanyi. Kenapa perlu skeptikal? Jadi, saya berharap Infiniti akan mengubah persepsi masyarakat terutama terhadap kemampuan saya.

"Tidak sabar saya menanti reaksi umum terhadap lagu ini. Pada masa sama, saya juga mahu mencabar diri kerana lagu ini membawa makna besar dalam hidup saya.

"Ia lagu kerohanian pertama yang saya rakamkan, malah boleh diterjemahkan sebagai gambaran kasih sayang sesama insan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Diana baru selesai menjalani penggambaran drama bersiri, Gol & Gincu yang bakal ditayangkan pada akhir tahun ini di 8TV.

Ibu muda kepada sepasang cahaya mata itu berkata, ramai peminat yang tidak berpuas hati apabila wataknya dan Ummi Nazeera diwujudkan kerana dianggap menggantikan pelakon asal filem itu yang diterbitkan pada tahun 2005.

"Ramai menyangka saya dan Ummi menggantikan watak utama, sedangkan kami melakonkan karakter berbeza. Apabila isu ini dibangkitkan, saya risau bagaimana reaksi peminat apabila drama ini ditayangkan kelak," katanya.

Isteri kepada pelakon, Datuk Farid Kamil ini juga mengembangkan bakatnya dalam bidang pengacaraan apabila mengendalikan program bual bicara, Kata Serasi bergandingan dengan Nazrudin Habibur Rahman atau Naz untuk siaran ntv7.

"Saya bersyukur dapat bergandingan dengan pengacara berpengalaman seperti Naz. Dia banyak membantu saya mengendalikan Kata Serasi dengan lebih baik.

"Tambahan pula, program ini dirakamkan secara langsung, membuatkan saya perlu melakukan banyak persediaan supaya tidak nampak kaku di depan kamera. Alhamdulillah, setakat ini saya selesa mengendalikan program ini," katanya.

Berita Harian X