Selasa, 10 April 2018 | 3:03pm
PENYANYI, Sufi Rashid. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Sufi bukan sengaja 'hilang'

KUALA LUMPUR: Fokus terhadap perniagaan membuatkan penyanyi yang dicungkil menerusi program realiti, Akademi Fantasia (AF) 2015, Sufi Rashid terpaksa berehat seketika daripada aktiviti nyanyian.

Penyanyi kelahiran Singapura itu kini aktif menjalankan perniagaan biskut, Krispy Krunchee yang sedang mendapat sambutan memberangsangkan, sekali gus memaksanya memperlahankan seketika kerjaya nyanyian.

Sufi yang popular dengan lagu Aku Sanggup berkata, keputusan itu diambil memandangkan segala hal berkaitan diuruskannya sendiri, terutama ketika usia perniagaan itu masih lagi hijau.

"Saya mula mengusahakan perniagaan ini sejak Januari lalu dan syukur kerana permintaannya sangat baik. Memandangkan ia baru bermula, saya terpaksa memberikan fokus untuk menguruskan segala hal berkaitan.

"Disebabkan itu, saya ambil keputusan untuk menyepi seketika daripada aktiviti nyanyian. Ketika ini, jadual saya agak padat kerana banyak menyertai bazar di sekitar Singapura untuk memperkenalkan lagi perniagaan," katanya.

Turut berhasrat meluaskan jenama biskut itu di negara ini, Sufi berkata, bidang nyanyian masih tetap di hati apabila bakal tampil dengan lagu duet bersama seorang penyanyi wanita dalam masa terdekat.

"Bukan langsung tidak menyanyi, malah saya masih memenuhi permintaan jika ada. Cuma, masa saya lebih banyak diluangkan untuk memantapkan perniagaan memandangkan saya belum lagi terikat dengan urusan promosi single.

"Insya-Allah, selain single duet, lagu solo terbaru saya pula akan menyusul selepas Aidilfitri nanti. Mungkin kerjaya nyanyian saya agak perlahan, namun saya bersyukur kerana masih mendapat peluang untuk mengasah bakat," katanya.

Berita Harian X