Selasa, 10 April 2018 | 6:17pm
PELAKON dan penyanyi, Naim Daniel. - Foto Munira Abdul Ghani

Naim tak taasub untuk popular

KUALA LUMPUR: Meskipun peluang untuk mengukuhkan nama sentiasa terbentang luas di depan mata, pelakon dan penyanyi, Naim Daniel, 21, tidak mahu tamak dan terlalu taasub mengejar populariti.

Pelakon filem Bisik Pada Langit itu berkata, ketika ini, dia lebih selesa memberikan perhatian kepada bidang nyanyian selepas percubaan menghasilkan single pertama, Sekali Lagi menerima maklum balas positif ramai.

"Saya tidak pernah sangka akan diterima sebagai penyanyi. Ia bermula secara suka-suka apabila saya memuat naik video rakaman semula lagu popular di laman sosial.

"Hanya selepas mengikuti pengajian Muzik di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, baru terdetik di hati untuk menyanyi secara serius. Apabila single pertama saya diterima baik, semangat saya semakin berkobar untuk terus mencuba," katanya.

Melihat sambutan positif yang diterima, Naim yang mula berlakon sejak usia lapan tahun ingin terlebih dahulu memberikan fokus kepada kerjaya nyanyian supaya peminat tidak keliru.

"Tawaran berlakon masih diterima, tetapi saya mahu berehat dahulu untuk memberi laluan kepada bidang nyanyian. Saya tidak mahu peminat keliru, jadi saya harus memilih antara satu.

"Alhamdulillah, perancangan untuk kerjaya nyanyian juga disusun dengan baik oleh syarikat rakaman, World Peace Entertainment. Saya dijadualkan tampil dengan single kedua selepas Aidilfitri nanti," katanya.

Naim berkata, lagu ciptaan Omar K itu sudah selesai dirakamkan dan sedang menjalani beberapa proses akhir sebelum diperkenalkan kepada peminat.

Naim yang ditemui pada sambutan ulang tahun podcast, Ais Kacang yang pertama, baru-baru ini juga aktif menghasilkan lagu. Terbaru, dia bekerjasama dengan komposer, Audi Mok mencipta lagu untuk Alvin Chong.

Berita Harian X