Selasa, 10 April 2018 | 7:27pm
PENYANYI, Wany Hasrita, pada majlis pelancaran produk kecantikan dan kesihatan, Jellyta by Wany Hasrita, di Hotel JW Marriot Kuala Lumpur. - Foto Rosela Ismail

'Hentikanlah gosip, kasihan ibu saya'

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Wany Hasrita, memohon orang ramai tidak mensensasikan gosip percintaan beliau kerana ia memberi impak tidak baik kepada ibunya.

Wany, 25, kasihan pada ibunya yang sering terkait sama sekiranya beliau digosipkan bercinta dengan mana-mana lelaki.

"Kasihanilah ibu saya, apatah lagi cerita negatif sebegitu mudah dipercayai oleh orang ramai di luar sana. Lebih-lebih lagi, dia menyandang status ibu tunggal.

"Saya tinggal bersama ibu... Jadi, jika ada cerita sensasi sebegitu, kesannya bukan terhadap saya seorang, tetapi turut terkena pada ibu. Harapnya, selepas ini tidak lagi timbul cerita begini, sebaliknya fokus kepada kerjaya saja," kata Wany ditemui pada majlis pelancaran produk kesihatan diusahakannya, Jellyta, di sini.

Penyanyi Menahan Rindu itu berkata demikian ketika diminta mengulas gosip percintaan beliau bersama bekas anggota kumpulan Q Face, Fairuz Selamat.

Khabar angin mengenai keintiman kedua-duanya mula tersebar apabila mereka sering memuat naik gambar bersama di media sosial.

"Kami bersahabat sejak saya belum menjadi artis rakaman lagi. Abang Fairuz ialah sumber rujukan saya dalam bidang muzik kerana dia mempunyai pengalaman luas dalam bidang ini.

"Begitupun, gosip yang timbul sama sekali tidak menjejaskan persahabatan kami. Ibu juga mengenali Abang Fairuz. Hakikatnya, kami tidak bercinta, sebaliknya sekadar bersahabat baik," katanya yang baru saja muncul dengan single duet terkini bersama Tajul, Rindu Dalam Benci.

Menurut artis kelahiran ibu kota ini, dirinya sendiri belum mempunyai sebarang teman istimewa.

"Setiap orang bagaimanapun pasti mempunyai cita rasa mereka yang tersendiri. Bagi saya, antara kriteria yang menarik perhatian saya adalah lelaki yang tinggi, berkulit sawo matang dan sedap mata memandang.

"Namun begitu, saya belum pun mempunyai mana-mana calon kerana tidak ada apa-apa perancangan untuk menaiki pelamin dalam masa terdekat," kata Wany.

10944 dibaca
Berita Harian X