Rabu, 11 April 2018 | 10:00am
PELAKON, Chacha Maembong. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

'Biar Emma nikah dahulu'

KUALA LUMPUR: Pelakon Chacha Maembong mengakui, masih belum bersedia menamatkan zaman gadisnya, meskipun sedang serius menjalin hubungan cinta dengan jejaka kelahiran Sarawak.

Adik kepada pelakon Emma Maembong berusia 22 tahun itu berkata, dia masih terlalu muda untuk memikirkan soal perkahwinan dan bersyukur kerana kekasihnya tidak pernah mendesak.

"Kakak dan abang juga masih belum berkahwin, jadi ada baiknya saya berikan dahulu mereka laluan. Pada usia muda ini, ada baiknya saya fokus membina kerjaya.

"Saya merancang untuk mempunyai perniagaan sendiri sebelum berumah tangga. Saya memasang impian membuka kafe kerana minat membuat kek. Insya-Allah, jika tiada halangan, mungkin ia akan diusahakan bersama kakak," katanya.

Chacha berkata, dia hanya akan mula serius memikirkan mengenai perkahwinan apabila usianya memasuki 25 tahun. Dia mengenali teman lelakinya yang diperkenalkan sebagai DJ, 27, sejak setahun lalu.

Sementara itu, menyentuh mengenai pencalonan awal bagi kategori Aktres Pilihan, Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL), Chacha berkata, dia enggan meletak harapan terlalu tinggi untuk membolosi senarai lima terbaik.

Pelakon yang bakal muncul dengan filem Garang, terbitan produksi dari India, Sakti Film itu akur, senarai awal kategori itu mempertaruhkan nama hebat seperti Janna Nick, Nina Iskandar dan ramai lagi.

"Saya tidak berani meramalkan peluang memandangkan nama yang bertanding dalam kategori ini mempunyai kredibiliti tersendiri. Berada dalam senarai utama sudah memadai.

"Soal menang, saya tidak pernah terfikir mengenainya. Saya bagaimanapun, berterima kasih kerana penganjur melihat dan mempercayai kelebihan yang ada pada diri," kata pelakon drama Muzium Misteri itu.

DFKL akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 13 Me ini.

Berita Harian X