Sabtu, 14 April 2018 | 8:21pm
PEREKA fesyen, Rico Rinaldi, bekerjasama dengan Neelofa bagi koleksi Summeraya 2018. - Foto Ihsan Rico Rinaldi

'Pemilihan Lofa bukan menangguk di air keruh'

KUALA LUMPUR: Pereka fesyen, Rico Rinaldi, menepis tanggapan kononnya beliau cuba menangguk di air keruh apabila memilih bintang sensasi, Neelofa, sebagai 'muse' atau wajah mewakili koleksi Summeraya 2018.

Katanya, kerjasama bersama pelakon dan pengacara terkenal yang hebat dilanda kontroversi, baru-baru ini, juga bukanlah strategi jalan pintas beliau dalam memperkenalkan koleksi terbabit.

Tegas Rico, usaha untuk menyunting Neelofa sudah pun dilakukan sebelum Pengacara TV Popular, Anugerah Bintang Popular BH 3.0 itu terpalit dengan kontroversi pelancaran koleksi tudung terbarunya di sebuah kelab malam di ibu kota, Februari lalu.

"Saya bekerjasama dengan Neelofa sebelum munculnya kontroversi itu. Sejak awal lagi pelbagai perancangan sudah dibuat, termasuk fotografi dan kempen raya ini. Cuma, apabila koleksi itu dilancarkan, baru-baru ini, ia kebetulan hampir dengan tempoh kontroversi terbabit.

"Ia memang bukan strategi pemasaran atau kami cuba mengambil kesempatan ke atas apa yang terjadi pada Neelofa," katanya yang menjadi pereka tempatan pertama berjaya menyunting bintang jelita itu sebagai wajah rasmi jenama fesyen.

Rico mempunyai alasan tersendiri memperkenalkan Neelofa, atau lebih mesra disapa Lofa, sebagai Face of Summeraya 2018.

"Bukan hanya popular, malah beliau berjaya dalam pelbagai lapangan diceburi, terutama lakonan dan pengacaraan. Sumbangannya kepada negara juga sangat membanggakan.

"Saya mahu mencari selebriti yang boleh melambangkan koleksi tersendiri, berbeza, unik dan berketerampilan. Pemilihan Neelofa juga berdasarkan penghijrahan beliau ke arah lebih positif dan optimistik.

"Selain itu, ia menjadi cara saya untuk meraikan usia 10 tahun dalam industri fesyen. Tambahan pula, saya mencari 'muse' yang bertudung, jadi Neelofa dilihat bertepatan sekali," katanya.

Menurut Rico, beliau mendekati selebriti berkenaan menerusi mesej secara langsung di Instagram dan mengaku senang bekerjasama dengan pelakon Red Velvet itu.

"Beliau juga ada mengikuti perkembangan saya sebelum ini dan mungkin ia antara alasannya bersetuju untuk projek kerjasama ini," katanya.

Rico memperkenalkan 46 rekaan menerusi koleksi sempena perayaan Aidilfitri tahun ini. Ia juga koleksi hari raya ketujuh beliau sejak pembabitannya dalam bidang fesyen.

Berita Harian X