Ahad, 15 April 2018 | 11:57am
DYNAS Mokhtar. - Foto NSTP

Debaran nanti 21 April

KUALA LUMPUR: Bakal disatukan pada 21 April ini, pelakon Dynas Mokhtar, 35, mengakui, masih tidak percaya apabila kembali bertemu jodoh selepas pernah melalui kegagalan dalam berumah tangga.

Ibu tunggal kepada dua cahaya mata, Khyra Khalyssa, 8, dan Mohamed Haqaish, 6, berkata, kehadiran pengusaha ladang ayam, Shazrik Din, 36, membuka pintu hatinya untuk kembali meniti alam perkahwinan.

"Bagai tidak percaya, percintaan ini membawa kami ke alam rumah tangga. Selama berkawan, kami tidak begitu serius memikirkan arah hubungan ini, malah langsung tidak menyangka akan disatukan sebagai suami isteri.

"Tetapi, itulah yang dikatakan jodoh. Dalam teruja, saya akui gementar, meskipun pernah melalui pengalaman diijabkabulkan. Saya hanya berdoa supaya semua urusan pada hari bahagia kami nanti dipermudahkan," katanya.

Dynas berkata, seperti pasangan lain, mereka juga mengimpikan majlis perkahwinan yang istimewa untuk dikenang sehingga ke akhir hayat.

Sekadar mengimpikan majlis sederhana, Dynas akur, tidak boleh mementingkan diri memandangkan ia perkahwinan pertama bakal suaminya.

"Saya harus mengutamakan perasaannya, jadi sedapat mungkin kami berusaha untuk memastikan majlis itu nanti meninggalkan kenangan terindah. Alhamdulillah, segala persiapan penting sudah hampir selesai," katanya.

Lebih utama kata Dynas, perkahwinannya itu mendapat restu dua anak kesayangannya yang turut teruja menanti detik itu.

"Melihat mereka teruja, saya terharu kerana saya mahu perkahwinan ini memberi kebahagiaan tidak hanya kepada diri, tetapi juga untuk dua anak saya," katanya.

Dynas dan Shazrik yang bertunang pada 26 Oktober lalu merancang tiga majlis bermula upacara pernikahan di kediaman keluarganya di Shah Alam, Selangor, disusuli majlis bertandang di sebuah dewan di Damansara pada 28 April dan resepsi di sebuah hotel di ibu negara pada 5 Mei depan.

Berita Harian X