Isnin, 16 April 2018 | 9:34am
PENYANYI, Syamel. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Syamel tak pilih bulu

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Syamel, 24, menepis dakwaan dia bersikap pilih bulu dan hanya bersedia memberikan persembahan sepenuh hati pada acara yang mampu menaikkan namanya.

Pemenang Vokal Terbaik pada kemuncak Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL 32) lalu itu berkata, dia tidak pernah membezakan setiap tawaran yang diterimanya, malah sentiasa berusaha memberikan yang terbaik.

Baginya, tidak timbul istilah membuat persembahan sekadar melepas batok di tangga kerana ia hanya akan menjejaskan nama baiknya.

"Saya tidak pernah meletakkan kelas pada persembahan. Apabila sudah mempersetujuinya, saya pasti akan memberikan yang terbaik untuk mereka yang menonton. Tambahan pula, setiap persembahan saya dibayar.

"Tidak dinafikan, kualiti persembahan mungkin berbeza ketika saya menyertai pertandingan dan membuat persembahan biasa. Sudah pasti, apabila membabitkan pertandingan, saya akan meletakkan lebih usaha.

"Saya perlu menggunakan peluang itu untuk menonjolkan kemampuan sebenar. Soal menang atau kalah, itu perkara kedua. Tetapi, itu tidak bermakna saya ambil ringan persembahan lain," katanya kepada BH Online.

Mengulas mengenai persembahannya yang dibayangi rakan duetnya, Ernie Zakri ketika menyerikan sebuah acara hiburan, baru-baru ini, penyanyi yang popular dengan lagu Hidup Dalam Mati itu berkata, mereka tidak pernah terlintas untuk bersaing kehebatan.

Sebagai rakan duet, Syamel berkata, dia dan Ernie berusaha untuk saling melengkapi dan bukan berlawan kehebatan masing-masing.

"Kalau diikutkan lagu Perfect nyanyian asal Ed Sheeran dan Beyonce, bahagian penyanyi wanita cuma sedikit. Kami bagaimanapun, membuat sedikit perubahan supaya persembahan kami seimbang dan serasi.

"Tidak timbul soal dibayangi atau mahu menenggelamkan sesiapa. Dalam duet, kita kena saling bekerjasama supaya keserasian dalam persembahan dirasai penonton.

"Ernie juga bertolak ansur apabila bersedia menurunkan julat suaranya untuk mengimbangi persembahan kami," katanya.

Ditanya mengenai single terbarunya, Biar Cinta yang kurang diberikan promosi berbanding lagu terdahulu, Syamel berkata, ia dihasilkan ketika dia sedang bersaing pada pentas akhir Akademi Fantasia (AF) Megastar 2017.

"Sayang jika lagu itu terbiar begitu sahaja, jadi saya keluarkan sebagai single atas permintaan peminat. Promosi tetap ada, cuma kami biarkan dahulu lagu itu bergerak sendiri untuk melihat sejauh mana ia mampu pergi," katanya.

1197 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »