Selasa, 17 April 2018 | 3:57pm
PELAKON dan penyanyi, Maya Karin. - Foto Aziah Azmee

'Jangan sampai melampaui batas'

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Maya Karin, memandang serius isu buli siber yang semakin berleluasa sejak media sosial menjadi gaya hidup masyarakat.

Maya, 38, mengakui pernah menjadi mangsa buli siber apabila diganggu seorang wanita hingga terpaksa melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa, tahun lalu.

"Ia bermula pada Ogos, tahun lalu dan berlanjutan selama beberapa bulan. Wanita berusia lingkungan 20-an itu bukan hanya memaki, tetapi turut mengata dan mengugut saya di laman sosial seperti Instagram, Facebook dan Twitter.

"Lebih teruk, keluarga saya di sini dan di Jerman turut menjadi mangsa. Perbuatannya itu melampaui batas hingga memberi tekanan kepada kami sekeluarga. Kami juga risau dengan keselamatan masing-masing.

"Selepas berbincang dengan adik yang juga seorang peguam, kami sepakat membuat laporan polis. Langkah segera perlu diambil kerana tidak mahu perkara ini berlarutan," katanya.

Pelakon filem Munafik itu bersyukur, tidak sampai sebulan, wanita itu akhirnya ditahan pihak berkuasa di Melaka, seterusnya dihadapkan ke mahkamah.

"Saya tidak tahu apa niatnya, sama ada sengaja mencari perhatian atau memang busuk hati. Tindakannya itu memang melampaui batas hingga saya terpaksa merujuk kepada pihak berkuasa.

"Dulu, ketika usia muda, saya cepat marah dan melatah, tetapi sekarang saya tidak kisah. Jika masalah ini berulang, saya akan terus buat laporan polis," katanya.

Maya bagaimanapun, mengakui tidak menyimpan dendam, malah berharap netizen di luar sana tidak mengulangi kesilapan yang sama.

"Sebagai artis, saya sudah biasa berdepan perkara seperti ini, Tetapi, tidak ahli keluarga saya yang sangat terkejut dengan apa yang berlaku. Saya berharap kesilapan itu lagi tidak diulangi," katanya berkongsi pengalaman menjadi mangsa buli siber pada majlis pelancaran kempen Akhiri Buli Siber di Black Box KLPAC, Sentul, di sini, pagi tadi.

Berkongsi perjalanan kerjaya seninya, Maya berkata, dia sedang fokus untuk memulakan rakaman single terbaru iaitu lagu duet bersama Kaka Azraff dan Awi Rafael, seterusnya muncul dengan lagu solo selepas Aidilfitri.

"Lagu solo saya itu ditulis Aizat Amdan dan saya tidak sabar untuk memulakan rakaman. Secara peribadi, lagu itu sedap didengar," katanya yang akan tampil dengan filem Munafik 2 dan Olympic Dream.

3275 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »