Rabu, 18 April 2018 | 2:03pm
DATUK Aznil Nawawi. - Foto NSTP

Inisiatif Aznil tangani wira papan kekunci

KUALA LUMPUR: Pengacara serba-boleh, Datuk Aznil Nawawi memperkenalkan Yayasan Pesona yang membawa misi membantu, melatih dan membimbing generasi baharu untuk memiliki personaliti hebat bertaraf dunia.

Berkongsi perkara itu menerusi video yang dimuat naik di Instagram sempena kedatangan 1 Syaaban semalam, Aznil yang mesra disapa sebagai Pak Nil berkata, Yayasan Pesona turut bertindak mengukuhkan personaliti generasi baharu supaya lebih yakin dan berketrampilan.

"Idea menubuhkan yayasan ini tercetus selepas melihat generasi muda yang agak lemah dan gagal berinteraksi dengan baik ketika berdepan dengan khalayak.

"Cara komunikasi mereka juga kurang meyakinkan, selain kebanyakannya hanya berani membidas di alam maya dan bukan secara berdepan. Secara tidak langsung, usaha ini juga dapat membendung kelompok wira papan kekunci.

"Jika hal ini tidak segera diatasi, saya gusar negara akan diwarisi oleh generasi yang kasar bahasa dan cara pertuturan, selain tidak mampu berdebat secara beretika. Itu kebimbangan terbesar saya," katanya.

Bergerak sendiri tanpa dinaungi badan tertentu, Aznil berharap, usahanya itu akan membantu melahirkan generasi pelapis yang bijak bersuara, berdebat dan mengupas sesuatu isu dengan minda yang kritis.

Untuk memastikan misinya itu tercapai, Aznil berkata, dia akan turun padang menerusi pelbagai aktiviti di sekolah rendah dan menengah, selain universiti untuk berkongsi cara serta teknik komunikasi yang berkesan.

"Setiap aktiviti akan dijalankan secara santai dengan menghidupkan semula perbincangan matang secara empat mata. Dengan cara ini, kita dapat menyuburkan semula komunikasi dua hala tanpa perlu berselindung di sebalik papan kekunci," katanya.

Berita Harian X