Rabu, 18 April 2018 | 5:07pm

KRU dibubar bulan depan

KUALA LUMPUR: Anggota KRU, Datuk Norman Abdul Halim, mengumumkan kumpulan itu secara rasmi akan dibubarkan selepas Konsert Gergasi KRU 25 berlangsung di Istana Budaya, bulan depan.

Konsert terbabit akan diadakan selama tiga hari bermula 4 Mei.

Norman yang sebak ketika mengumumkan perkara berkenaan berkata, persembahan mega bersempena ulang tahun ke-25 trio adik-beradik itu bakal menjadi penampilan terakhir KRU yang turut disifatkan sebagai konsert selamat tinggal.

"Ini bukan gimik untuk melariskan tiket. Setiap perkara pasti ada penghujungnya. KRU sendiri sudah mengecap pelbagai sejarah manis, membawa pulang anugerah dan mengadakan banyak konsert sepanjang tempoh terbabit.


NORMAN (tengah) bersama Yusri (kiri) dan Edry tidak dapat menahan sedih selepas mengumumkan pembubaran Kumpulan KRU selepas berakhirnya konsert gergasi KRU 25 pada 4 dan 5 Mei 2018 di Istana Budaya. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

"Tiada apa lagi yang kami mahu capai atau kejar. Kini, biarlah kami tumpukan perhatian terhadap komitmen masing-masing. Pembubaran ini pun sudah dibincangkan sejak tahun lalu dan keputusan juga dibuat secara kolektif serta bukan tiba-tiba.

"Keputusan ini sesuatu yang perlu dilakukan. Kami sudah melalui pelbagai fasa dan inilah fasa penutupnya," katanya pada sidang media Konsert Gergasi KRU, di sini hari ini.

Begitupun, kata Norman, mereka hanya bersara sebagai penyanyi rakaman dan penghibur, namun tetap bersatu sebagai entiti dalam perniagaan serta jenama KRU yang dikukuhkan bersama-sama.

Selain Norman, kumpulan yang ditubuhkan pada 1992 itu turut membariskan dua lagi adiknya, Yusry dan Edry.

Sepanjang pembabitan dalam dunia muzik, KRU meledak dengan deretan lagu seperti Awas, Mengerti, Ooh! La! La!, Apa Saja, Jangan Lafazkan, Janji Tinggal Janji, Fanatik, Impak Maksima, Di Dalam Dilema, Salah Siapa, Semuanya OK dan Babe.

Pada masa sama, Edry turut mengakui bakal berhijrah ke Eropah selepas sambutan hari raya bagi mendapatkan pendidikan lebih baik untuk anak ketiganya yang disahkan menghidap autisme.

Sementara itu, mereka juga mengumumkan penerbitan album kompilasi yang memuatkan 29 lagu popular dan sebuah single bonus berjudul Tahan Lama, yang turut menampilkan Joe Flizzow.

KUMPULAN KRU pada sidang media Konsert Gergasi KRU 25 dan majlis pengumuman pembubaran Kumpulan KRU selepas berlangsungnya konsert mereka di Istana Budaya. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
Berita Harian X