Ahad, 22 April 2018 | 8:56am
LISA Surihani. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

'Saya bukan diva atau primadona'

KUALA LUMPUR: Membina kredibiliti tersendiri dalam dunia lakonan, Lisa Surihani tidak pernah meletakkan dirinya sebagai primadona atau diva apabila bersedia menggalas tanggungjawab di balik tabir.

Katanya, biarpun berdepan tekanan ketika melaksanakan kerja di balik tabir, Lisa tidak gentar mengharunginya kerana cabaran seperti itu membantunya supaya bergerak lebih pantas.

"Saya tidak pernah kisah soal populariti atau glamor sejak mula menceburi dunia komersil pada usia 11 tahun. Perkara itu juga tidak pernah saya fikirkan apabila mula serius berlakon pada 2008.

"Saya bukan diva, jauh sekali primadona. Setiap tanggungjawab ada tekanan tertentu, tetapi cabaran itu yang menggerakkan kita ke depan. Sebesar manapun cabaran, kita perlu tangani dan pastikan kerja disempurnakan.

"Sejak awal memasuki industri, saya pasang niat untuk mencari rezeki dan belajar. Soal jarang lagi di depan kamera atau melakukan kerja kurang glamor, bukan isu besar kerana saya selesa dengan tanggungjawab ini," katanya.

Lisa kini menggalas tanggungjawab sebagai Penerbit Eksekutif Konsert Gergasi KRU 25. Ibu kepada dua cahaya mata itu menjadikan suaminya, Yusry Abdul Halim dan abang ipar, Datuk Norman sebagai mentor yang banyak mengajarnya selok-belok dunia produksi.

Terdahulu, konsert yang bakal berlangsung di Istana Budaya pada 4 hingga 6 Mei ini adalah persembahan terakhir KRU sebelum kumpulan itu dibubarkan.

Ditanya mengenai pembubaran KRU, Lisa berkata, sebagai isteri, sudah pasti dia sentiasa berada di belakang suaminya memberikan sokongan tidak berbelah-bagi, namun turut sedih dengan keputusan mereka.

"Yusry memang berkongsi semua perkara, termasuk keputusan ketika mahu membubarkan KRU. Seperti yang mereka katakan, tiada apa lagi yang dikejar. Memang sedih kerana saya juga peminat KRU.

"Tetapi, dari sudut lain, Yusry dan adik-beradiknya sudah meninggalkan legasi untuk peminat menerusi lagu malar segar," katanya.

Berita Harian X