Jumaat, 27 April 2018 | 4:54pm
KUMPULAN Bunkface ketika membuat persembahan pada konsert Festival Gegaria di Amanjaya, Sungai Petani. - Foto: Sharul Hafiz Zam
KUMPULAN Bunkface ketika membuat persembahan pada konsert Festival Gegaria di Amanjaya, Sungai Petani. - Foto: Sharul Hafiz Zam

Bunkface lancar single pada hari mengundi

KUALA LUMPUR: Kumpulan Bunkface memilih hari pembuangan undi bagi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 untuk melancarkan single terbaru mereka, Apa Pun Tak Boleh.

Kata anggotanya, Farouk Jaafar atau Youk, lagu berkenaan sepatutnya dilancarkan lebih awal, namun beberapa masalah yang timbul menyebabkan ia perlu dianjak ke tarikh baharu.

"Kebetulan, tarikh baharu yang dipilih itu sama dengan hari berlangsungnya PRU-14. Kami bagaimanapun nekad memilih tarikh 9 Mei kerana ia hari bersejarah buat negara kita.

"Kami juga mahu mencipta sejarah peribadi dengan melancarkan lagu berkenaan secara penuh simbolik," katanya.

Menurut pemain bes terbabit, Apa Pun Tak Boleh juga dianggap cukup istimewa kerana ia buat julung kali menyaksikan kerjasama Bunkface dengan penyanyi era 60-an, Datuk Jeffrydin, dan artis rap, Caprice.

"Kami merakamkan lagu itu akhir tahun lalu dan ia dilakukan secara berasingan, mengikut kesesuaian jadual artis terbabit," katanya kepada BH Online.

Katanya lagi, kerjasama berkenaan direalisasikan dengan matlamat menggabungkan dua era dan genre berbeza atas paksi muzik.

"Lagu ini menggambarkan situasi muzik semasa negara, mengikut perspektif kami. Muzik seharusnya sejajar dengan peredaran zaman dan mampu menyampaikan maksud yang terus kepada pendengar," katanya yang cuba mencipta kelainan menerusi single itu.

Lagu yang dihasilkan sepenuhnya di studio milik Bunkface, BF Rockstation, itu akan turut dimuatkan dalam album terbaru kumpulan terbabit, Pop. Ia dijangka dilancarkan sekitar Ogos depan.

Kumpulan yang turut dianggotai oleh Sam selaku vokalis dan Paan (gitar utama) itu juga sibuk dengan penganjuran persembahan Bunkshow! Pertunjukan pertamanya diadakan pada 1 April lalu, di Kelana Jaya.

Edisi kedua persembahan berkenaan akan dilangsungkan di Black Box @ MAP, Mall Of Medini, Nusajaya, Johor, pada 12 Mei depan. Peminat kumpulan terbabit boleh mendapatkan tiket secara atas talian di media sosial rasmi Bunkface.

Berita Harian X