Sabtu, 28 April 2018 | 3:00pm
PELAKON, Bella Dally, pada majlis pertunjukan fesyen Ariani Luminous Lebaran 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Convention Centre. - Foto Salhani Ibrahim

Bella enggan dibayangi suami

KUALA LUMPUR: Pelakon, Bella Dally, mengambil langkah menggunakan khidmat pengurus sejak awal tahun ini demi memperkukuh dan memperkembangkan kerjayanya di arena seni.

Katanya, gandingan dengan Aina Liza Atan atau Mami Aina menambahkan keyakinannya untuk bergerak lebih agresif, terutama membabitkan tawaran lakonan dan komersil.

"Sebelum ini saya bergerak sendirian, namun pertemuan dengan Mami Aina mengembalikan semula keyakinan untuk terus berani melangkah tegar sepanjang 2018 dan seterusnya.

"Mungkin sebelum ini orang lebih merujuk saya sebagai isteri Nazim Othman. Saya faham situasi itu, tetapi kalau boleh saya enggan dibayangi oleh suami. Dia memang banyak menyokong, namun saya perlu dikenali atas nama sendiri.

"Saya 'pasang' pengurus kerana yakin dan percaya pengalamannya mampu membantu melancarkan perjalanan kerjaya seni saya. Sudah tentu kami juga mengatur strategi ke arah itu," katanya ketika ditemui pada majlis pertunjukan fesyen lebaran Ariani.

Bella bergelar isteri kepada Nazim, yang juga seorang pelakon, pada 10 September 2016.

Sementara itu dia mengakui bertuah diberi kepercayaan oleh syarikat terkemuka untuk menjadi wajah produk keluaran mereka, sekali gus menjadi bukti masih ramai yang menghargai bakatnya.

Biarpun wajah baharu membanjiri kaca TV, Bella atau nama sebenarnya Nabilah Ali Dally, 27, memaklumkan masih kerap diajukan tawaran, sama ada untuk telefilem atau drama rantaian.

"Alhamdulillah, semoga 2018 ini menyerlahkan hasil seperti diharapkan. Selain lakonan, saya juga sudah bersama Ariani buat tahun keempat. Amanah mereka yang membuatkan saya pasti, rezeki sentiasa ada asalkan kita tidak mudah putus asa.

"Mengenai lakonan pula, saya turut terbabit dalam drama, Makmum Yang Paling Aku Cinta, untuk tayangan HyppSensasi. Dalam naskhah itu saya memegang watak sebagai gadis bisu.

"Inilah antara watak berat pernah saya bawakan. Bukan senang meluahkan sepenuh rasa tanpa dialog. Apa pun, kepuasan melakonkan karakter sedemikian sukar untuk digambarkan," kata aktres yang dicungkil bakatnya menerusi program Pilih Kasih musim pertama pada 2009 itu.

Berita Harian X