Ahad, 29 April 2018 | 2:37pm
ARA kecewa dengan sikap netizen yang gemar menghambur perkataan kasar ketika memberi teguran. - Foto Saddam Yusoff

'Bukan tak boleh tegur...'

PUCHONG: Penyanyi Ara Johari terkilan dengan sikap segelintir netizen yang lebih gemar mencari kesilapan orang lain, tetapi tidak menunjukkan contoh yang baik ketika memberikan teguran.

Ara yang terheret dalam kontroversi memuat naik sedutan filem Avengers: Inifitiny War di laman sosial, baru-baru ini berkata, tindakannya menulis pelbagai status menerusi Insta Story bukan untuk mempertahankan diri, sebaliknya kerana berang dengan kecaman netizen.

Akui penyanyi lagu Bunga itu, sejak berkongsi video rakaman dalam panggung itu, dia menerima pelbagai mesej hentaman dengan perkataan kesat dan caci maki.

"Memang saya buat salah, tetapi jangan hambur perkataan kasar seperti anjing dan mencarut. Kalau nak tegur, biarlah secara berhemah. Saya juga ada perasaan.

"Kalau orang layan kita teruk, takkan kita perlu balas secara baik? Saya tidak akan maafkan individu yang sesuka hati melabel orang lain dengan perkataan yang tak sepatutnya," katanya yang ditemui di radio iM4U, semalam.

Terdahulu, Ara memohon maaf atas kesilapannya merakam dan memuat naik sedutan filem itu di laman sosial hingga mencetuskan kemarahan netizen.

Katanya, dia tidak berniat jahat atau sengaja melanggar peraturan, sebaliknya hanya mahu berkongsi suasana di dalam pawagam menerusi rakaman berdurasi 15 saat itu.

"Saya minta maaf kepada semua pihak yang terbabit dalam penerbitan filem ini, termasuk pengurusan pawagam. Saya mengaku, semua kekalutan ini berpunca daripada kekhilafan diri sendiri.

"Sejujurnya, saya tiada maksud mahu menonjolkan spoiler atau merakam cerita, apatah lagi ia hanya berdurasi 15 saat bermula paparan di skrin dan selebihnya suasana di dalam pawagam.

"Selepas ini, saya akan lebih peka selain berhati-hati supaya tidak mengulangi semula perbuatan itu," katanya.

Berita Harian X