Jumaat, 4 Mei 2018 | 6:05pm
Selebriti terkenal, Datuk Aaron Aziz bersama salah satu koleksi khat Ruqyah edisi Aaron Aziz di galeri pameran Topkhat. - Foto Supian Ahmad

Aaron guna ayat suci rawat sakit misteri

SHAH ALAM: Selama dua tahun sering berdepan sakit misteri, aktor, Datuk Aaron Aziz, bercuti seketika daripada kerjaya bagi memberikan tumpuan kepada diri sendiri.

Enggan mengaitkannya dengan perbuatan sihir, bagaimanapun atas nasihat mereka yang lebih arif, Aaron, 42, memilih alternatif menggunakan ayat suci al-Quran untuk merawat diri.

"Saya bukanlah mengalami kesakitan sepanjang waktu, sebaliknya ia hanya muncul sekali-sekala sepanjang tempoh dua tahun itu. Ketika ini pun, saya belum pulih sepenuhnya.

"Tidak mahu menuduh mana-mana pihak, saya mengamalkan beberapa surah untuk merawat sakit misteri yang dialami. Malah, saya turut menggunakan pendekatan sama bagi menjaga kesejahteraan diri kami sekeluarga.

"Jujur saya akui, ada ketikanya saya lalai kerana sibuk bekerja. Namun, apabila terkena pada diri sendiri, ia menjadikan saya lebih berhati-hati dan menjaga tiang agama, iaitu solat," katanya kepada BH Online.


AARON bersama pengasas Topkhat, U'zir Abdul Aziz. - Foto Farhana Ab Rahman

Selebriti terkenal, Datuk Aaron Aziz. - Foto Supian Ahmad

Aaron berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media pelancaran koleksi seni kaligrafi Islam, Topkhat, di sini hari ini.

Melancarkan lima koleksi di bawah nama beliau, Aaron turut beramal dengan menyalurkan 20 peratus keuntungan daripada jualannya kepada pihak memerlukan.

"Saya berhasrat untuk membantu keluarga yang memerlukan dengan menyediakan dana pendidikan bagi membantu mereka mengejar impian. Bersama-sama kelab peminat, saya sudah memulakan misi ini sejak dulu lagi.

"Kerjasama ini diharap dapat membantu anak-anak yang susah menerusi bantuan yang disalurkan terus kepada mereka," kata Aaron.

Berita Harian X