Sabtu, 5 Mei 2018 | 4:36pm
MAYA Karin, Altimet, Marsha Milan dan Aizat Amdan.

Syarikat rakaman turut 'berkempen'

KUALA LUMPUR: Menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei, syarikat rakaman Warner Music Malaysia (Warner) melancarkan kempen memupuk kesedaran menunaikan tanggungjawab mengundi di kalangan rakyat negara ini.

Usaha itu bertepatan dengan seruan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) yang memohon pihak korporat menyampaikan mesej kepentingan mengundi kepada masyarakat umum menerusi pendekatan tersendiri.

Mengulas mengenai kempen berkenaan, Eksekutif A&R Warner, Raja Nazreen, berkata mereka berasa bertanggungjawab untuk sama-sama mengingatkan rakyat Malaysia mengenai perkara itu.

"Inilah usaha kami untuk memeriahkan suasana pilihan raya, selain melaksanakan tanggungjawab sosial syarikat ini," katanya.

Menerusi kempen itu, syarikat rakaman terbabit menerbit dan melancarkan video 'Undilah' dan '#Dontvote'.

Menerusi video pertama, artis baharu seperti Andi Bernadee, Dewi Seriestha, Bella Nazari dan Wan Shahjuddin berpadu suara merakamkan semula lagu kempen mengundi Pilihan Raya Umum Tanah Melayu yang pertama pada 1955.

Ketika itu, lagu berentak boria ciptaan dan dendangan Allahyarham Datuk Zainal Alam Zainol Abidin pernah mencetuskan suasana ceria dan menggamatkan suasana pilihan raya seperti sambutan hari raya.

"Sebagai penghargaan muzik zaman 50-an, kami menampilkan penyanyi generasi baharu untuk merakamkan semula lagu ini. Ia juga bertepatan dengan kebangkitan muzik era lalu di kalangan anak muda sekarang.

"Kami berharap, ia bukan saja dapat mendedahkan golongan muda terhadap irama klasik berentak boria, tetapi mampu menarik perhatian mereka terhadap mesej yang disampaikan dalam lagu itu," katanya.

Video #Dontvote pula menggunakan pengaruh artis dalam menyampaikan mesej yang menggalakkan peminat mereka keluar mengundi.

Berdurasi seminit, video berkenaan menampilkan artis tanah air seperti Marsha Milan, Aizat Amdan, Altimet, Yasin, Loque, Wings, Maya Karin dan Kaka Azraff yang turut mengambil peluang itu untuk menjalankan tanggungjawab sosial mereka sebagai suri teladan.

"Sengaja kami menggunakan 'clickbait' dan 'reverse psychology' supaya mesej itu dapat disampaikan terus kepada golongan sasaran kami, iaitu mereka yang tidak mahu atau tak sedar kepentingan mengundi, tetapi mahukan justifikasi kenapa mereka tidak perlu mengundi.

"Apabila dibuat sedemikian, diharap mereka akan menonton video ini dan menerima nasihat yang disampaikan," kata Raja Nazreen.

Selain itu, Warner juga menyediakan panduan ringkas dalam bentuk infografik mengenai proses pilihan raya, sebagai panduan kepada pengundi baharu. Infografik berkenaan akan dikongsikan di semua pelantar media sosial syarikat rakaman itu.

Video kempen 'Undilah' dan '#Dontvote' boleh ditonton di saluran YouTube Warner Music Malaysia.

Berita Harian X